APA ITU

PITAS2030

Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS2030) merupakan Pelan Induk yang menggabungkan pembangunan manusia dan pembangunan ekonomi secara holistik dan komprehensif. Secara makronya, halatuju pembangunan manusia memberi tumpuan kepada melahirkan rakyat yang beragama, bermasyarakat dan berkebajikan.

Manakala halatuju pembangunan ekonomi memberi tumpuan kepada meningkatkan peluang pekerjaan dan menghasilkan pendapatan baharu kepada Kerajaan Negeri Terengganu Darul Iman. Kedua-dua elemen dalam PITAS2030 ini akan mewujudkan model pembangunan Islam yang akan menjadi contoh kepada masyarakat Malaysia.

Pelan Perancangan Pembangunan Terengganu yang lebih holistik dan komprehensif dalam membawa dasar negeri “Maju, Berkat, Sejahtera” dengan berteraskan prinsip-prinsip Islam.

Memanfaatkan keperluan dan Potensi Sumber Keberhasilan ekonomi negeri yang sedia ada dalam memacu pertumbuhan ekonomi yang mampan.

Memperkukuhkan keupayaan Pembangunan Insan dalam meningkatkan daya saing dan produktiviti negeri.

Memaksimumkan Perkhidmatan Sistem Penyampaian yang responsif dan pantas melalui Kerajaan Digital bagi memenuhi kehendak rakyat.

Memperkayakan Personaliti Budaya Dan Warisan Negeri yang dilihat berpotensi untuk dimajukan sehingga ke peringkat antarabangsa.

Menyelaraskan Pembangunan Dan Inisiatif Daripada Kerajaan persekutuan sesuai dengan konsep Budaya Politik Matang Sejahtera (BPMS).

Meletakkan sasaran 2030 seiring dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) yang diadaptasi mengikut prinsip-prinsip Islam.

PRINSIP & FALSAFAH

7 PRINSIP PITAS2030

  1. Pematuhan Kepada Prinsip Islam
  2. Insan Berkualiti Aset Terpenting Negeri (Kerajaan Teknokrat)
  3. Pembangunan Lestari
  4. Kekayaan & Hasil Tempatan Adalah Untuk Rakyat
  5. Negeri Berkebajikan
  6. Kerajaan Negeri Sebagai Pemandu, Pemudahcara & Pemantau
  7. Budaya Politik Matang dan Sejahtera

FALSAFAH

Membina sebuah masyarakat & pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hakamnya menuju keredhaan Allah.

PEMBOLEHDAYA

ITQAN INSANI

  • Bagi melahirkan insan yang rabbani meliputi penekanan aqidah, syariah dan akhlak.
  • Keperluan pembangunan manusia merentasi portfolio dan jabatan bagi memastikan teras strategi dapat dicapai dengan baik dan sempurna.

TEKNOLOGI ICT DAN IR 4.0

  • Menekankan tranformasi digital yang memberi impak besar dalam kehidupan dan ekonomi.
  • Pelaksanaan aktiviti bisnes digital ini dalam organisasi dan masyarakat akan membentuk ekosistem digital yang baharu seterusnya akan mencetus pembentukan masyarakat dan ekonomi digital.

KESEJAHTERAAN PENTADBIRAN

  • Melibatkan perubahanan polisi dan biokrasi yang diperlukan bagi menjayakan PITAS2030.

INFRASTRUKTUR DAN PENGANGKUTAN

  • Pembangunan infrastruktur akan diselaraskan mengikut keperluan Teras Strategik yang melibatkan pembangunan industri, pemerkasaan pertanian dan pemantapan pelancongan

DANA DAN PELABURAN

  • Diperkasakan menerusi industri pelancongan, pertanian, industri minyak & gas, galian dan sumber mineral.
10 TERAS STRATEGIK

TERAS STRATEGIK 1

PEMERKASAAN PELAKSANAAN SYARIAH DAN PEMANTAPAN PENDIDIKAN

Teras strategik ini adalah sebahagian daripada sasaran pembangunan insan. Teras ini memberi tumpuan kepada pemerkasaan perundangan dan pelaksanaan Syariah Terengganu. Ianya termasuklah pemantauan agenda pelaksanaan syariah di semua portfolio, agensi dan jabatan Kerajaan Negeri. Pemantapan Pendidikan pula memberi tumpuan kepada pembangunan pendidikan berasaskan nilai rabbani dengan kemudahan akses digital serta data bersepadu pelajar sesuai pendidikan pasca COVID19. Penerapan nilai rabbani dilakukan menerusi pendidikan formal dan tidak formal sehingga mendapat pengiktirafan antarabangsa.

TERAS STRATEGIK 2

PEMBANGUNAN BANDAR BAHARU LESTARI DAN KEDIAMAN PATUH SYARIAH

Teras strategik ini melibatkan sasaran pembangunan ekonomi dan pembangunan insan. Teras strategik ini memberi tumpuan pembangunan perumahan yang mencukupi untuk rakyat Terengganu dan peningkatan sosioekonomi dan sosio alam sekitar. Ia dijayakan menerusi pembinaan bandar baharu lestari dan pintar dengan menjadikan prinsip Islam sebagai asas pembangunan di mana masjid menjadi pusat sehenti untuk aktiviti kemasyarakatan, ekonomi, sosial dan sosio-alam sekitar.

TERAS STRATEGIK 3

PENGUKUHAN PEMBANGUNAN INSAN

Teras strategik ini sebahagian daripada sasaran pembangunan insan. Teras strategik ini memberi tumpuan kepada pemahaman, pengamalan dan penghayatan rakyat bahawa “Islam Mampu Memimpin” dan menjadi rujukan kepada rakyat. Modul Itqan Insani menyasarkan pembangunan secara holistik kepada 10 segmen masyarakat selaras dengan dasar Islam yang dibawa Kerajaan Negeri. Matlamatnya adalah untuk melahirkan manusia bersifat “Itqan Insani” dan mampu mengurangkan masalah sosial di kalangan masyarakat. Kebolehcapaian ini kelak akan dinilai melalui Indeks Kesejahteraan Rakyat Terengganu (IKRT).

TERAS STRATEGIK 4

PENINGKATAN PENGELUARAN PERTANIAN

Teras strategik ini termasuk dalam sasaran pembangunan ekonomi. Teras strategik ini memberi tumpuan kepada penerokaan sumber baharu dalam pertanian, penekanan keselamatan makanan menerusi peningkatan hasil pengeluaran sehingga mencapai Kadar Kecukupan Sara Diri (Self-Sufficient Level) (SSL) khususnya dalam pengeluaran padi. Pembangunan produk pertanian pula akan difokuskan menerusi pembinaan rantaian nilai lengkap pertanian sehingga mampu bersaing di peringkat antarabangsa.

TERAS STRATEGIK 5

PENEROKAAN DAN PEMERKASAAN SEKTOR INDUSTRI DAN SEKTOR PEMBUATAN

Teras strategik ini termasuk dalam sasaran pembangunan ekonomi. Teras strategik ini memberi tumpuan kepada pemerkasaan industri maritim, sumber asli, mineral, minyak dan gas menerusi penekanan industri huluan dan hiliran. Kawasan industri yang sedia ada dan baharu akan dibangunkan semaksimum mungkin dengan penawaran pelbagai insentif pelaburan menarik sehingga mampu memperbanyakkan peluang pekerjaan rakyat dan meningkatkan pendapatan Kerajaan Negeri Terengganu. Selain itu, Kerajaan Negeri akan mengambil peluang daripada pembangunan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan Lebuhraya Pantai Timur 3 (LPT 3) untuk merancakkan pembangunan ekonomi di stesen ECRL dan susur keluar LPT.

TERAS STRATEGIK 6

PENDIGITALAN TERENGGANU DAN PEMANTAPAN PELANCONGAN

Teras strategik ini adalah sebahagian daripada sasaran pembangunan ekonomi. Teras strategik ini memberi tumpuan untuk menjadikan Terengganu sebagai negeri Digital Pintar menjelang 2030. Pendigitalan Terengganu akan menekankan 3 elemen penting iaitu kemahiran insan, pembangunan produk dan platform digital. Dalam pelancongan pula, Kerajaan Negeri mensasarkan Terengganu sebagai negeri pelancongan yang mesra muslim dengan penekanan konsep pelancongan komuniti dan lestari. Di samping itu, pelancongan juga akan menjadi antara penyumbang kepada penambahan pendapatan Kerajaan Negeri.

TERAS STRATEGIK 7

KETERANGKUMAN KEBAJIKAN RAKYAT DAN PENINGKATAN KEDAYAAN WANITA

Teras strategik ini termasuk dalam jajaran sasaran pembangunan insan. Teras strategik ini memberi tumpuan kepada menjadikan Terengganu sebagai “Negeri Berkebajikan” berpaksikan rakyat (citizen-centric), dengan memperkukuhkan komuniti di peringkat kampung melalui MPKK / JPKK untuk pembangunan ekonomi dan sosial. Bagi menjayakan hasrat ini, pembudayaan konsep berkebajikan akan diterapkan kepada masyarakat sehingga mampu menyelesaikan isu kemiskinan dan masalah sosial. Majlis Pembangunan Sosial Negeri Terengganu ditubuhkan untuk tujuan tersebut, di samping mengukuhkan perpaduan dan keharmonian kaum berteraskan nilai agama. Kedayaan Wanita pula memberi tumpuan kepada peningkatan institusi kekeluargaan dan martabat wanita, iaitu selaras dengan prinsip Islam dan nilai murni masyarakat.

TERAS STRATEGIK 8

PEMBINAAN BELIA RABBANI, PENERUSAN KECEMERLANGAN SUKAN DAN PEMERKASAAN NGO

Teras strategik ini adalah sebahagian daripada sasaran pembangunan insan. Teras strategik ini memberi tumpuan kepada pembangunan belia Terengganu sebagai “Belia Rabbani Terengganu” yang bermasyarakat dan berkepimpinan. Akademi Kepimpinan Terengganu dengan modul dan silibus komprehensif menjadi platform kepada pembinaan Belia Rabbani Terengganu. Pembangunan Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan sukarelawan turut diperkasakan sebagai satu entiti bertujuan memperkuatkan Kerajaan Negeri menerusi konsep semak dan imbang, selain merancakkan keterlibatan dalam aktiviti lapangan bersama rakyat. Budaya hidup sihat yang patuh syariah dibudayakan kepada masyarakat Terengganu menerusi pelbagai program dan kempen. Kerajaan Negeri juga berhasrat menjadikan Terengganu sebagai “Negeri Kayuhan Basikal.” Infrastruktur lengkap disediakan termasuklah laluan kayuhan basikal dengan sistem keselamatan (CCTV) di kawasan hotspot. Kecemerlangan Sukan Negeri diperkasakan dengan menjadikan Terengganu sebagai “Negeri Kuasa Sukan Intelektual” merangkumi keperluan asas sukan bertaraf antarabangsa.

TERAS STRATEGIK 9

PENGUKUHAN INFRA, PEMERKASAAN TEKNOLOGI HIJAU
DAN PENGAWALAN IMPAK BENCANA

Teras strategik ini adalah sebahagian daripada sasaran pembangunan ekonomi. Teras strategik ini memberi tumpuan pemerkasaan infra, perkhidmatan utiliti termasuk pengangkutan dan kemudahan awam untuk kesejahteraan rakyat. Pembinaan Lebuhraya Pantai Timur 3 (LPT3) dan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) akan menjadi keutamaan kerajaan bagi memastikan projek ini berjalan sesuai dengan jangka masa yang dirancang. Penekanan teknologi hijau akan diperkasakan menerusi penggalakan projek solar dan mini hidro serta penyelarasan inisiatif pembangunan teknologi hijau. Selain itu, sumber air Terengganu akan dijadikan peluang penjanaan ekonomi kepada rakyat dan penambahan pendapatan kepada kerajaan negeri.

TERAS STRATEGIK 10

PEMERKASAAN KEUSAHAWANAN DAN PENGUPAYAAN SUMBER MANUSIA

Teras strategik ini adalah sebahagian daripada sasaran pembangunan ekonomi. Teras strategik ini memberi tumpuan pembangunan rantaian lengkap produk keusahawanan sehingga mampu bersaing di peringkat antarabangsa. Keusahawanan juga akan memberi tumpuan kepada produk warisan dan budaya Terengganu supaya warisan dan budaya Terengganu dapat diperkenalkan menerusi perusahaan berasaskan komuniti. Pembangunan Sumber Manusia Rabbani Teknokrat akan dioptimumkan sebaik mungkin untuk melahirkan tenaga kerja mahir dan memenuhi permintaan kerjaya.

MAJU
  • Pembangunan infrastruktur dan ekonomi yang menyelesaikan masalah rakyat.
  • Pembangunan insan berteraskan kepada prinsip Islam yang melahirkan masyarakat yang intelek dan berdaya saing.
  • Kelestarian pembangunan fizikal (ekonomi, masyarakat dan alam sekitar) berasaskan prinsip Islam.

BERKAT
  • Prinsip Islam dijadikan asas dalam pentadbiran dan ekonomi yang bebas riba, rasuah, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa.
  • Penghayatan taqwa menjadi asas terpenting dalam pentadbiran dan pembangunan masyarakat.

SEJAHTERA
  • Konsep Keselamatan : Pengurangan kebimbangan terhadap ancaman jenayah, masalah sosial dan kesan bencana kepada rakyat.
  • Konsep Berkebajikan : Penggabungan jalinan peranan dan sumbangan kerajaan, badan korporat dan  rakyat untuk membangunkan negeri.
  • Konsep Kemakmuran :  Perkongsian pembangunan dan hasil negeri yang dinikmati oleh semua masyarakat.