AHMAD Shahrizal (kanan) menyerahkan jersi perlumbaan kepada Ahmad Azizi bagi program latihan berintensiti tinggi di benua Eropah, malam tadi. FOTO MALIK MUHAMAD
Kuala Terengganu: Skuad berbasikal Terengganu bagi Sukan Malaysia (Sukma) bakal menyertai 20 perlumbaan berintensiti tinggi di Eropah sebagai persiapan terbaik menjelang temasya di Lembah Klang bermula 29 September hingga 8 Oktober depan.
Pelumba muda terbabit akan ‘berkampung’ selama 27 hari bagi program latihan antarabangsa beraltitud tinggi di Belgium dan Belanda.
Ia bermula dengan kejohanan pertama pada 16 April ini di Lebuhraya Witte Donderdagprijs di Bellegem, barat Belgium, yang juga cabaran sulung perlumbaan berintensiti tinggi di Eropah.
Sembilan pelumba muda dibimbing Syed Mohd Husaini Syed Mazlan dan Anuar Manan itu adalah Muhammad Shahmir Aiman Abd Halim, Muhammad Haizam Mohd Shabri, Muhammad Alif Aiman Mohd Zainudin, Muhammad Hakimi Haiqal Ahmad Sabri, Wan Muhammad Hamizan Ifwat, Mohammad Faisal Izuddin Ahmad Joyo, Muhammad Sanim Fitri Abd Halim, Mohamad Aiman Haiqal dan Kee Zhe Yie.
Pengurus pasukan berbasikal Sukma Terengganu, Ahmad Azizi Zulkifli berkata, setiap pelumba dipilih menyertai latihan antarabangsa itu menjalani penilaian ketat apabila perlu bersaing secara merit dengan pelumba lain dalam program pembangunan dikelolakan Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT).
“Sebahagian besar pelumba ini pernah merangkul juara dalam beberapa siri perlumbaan peringkat kebangsaan dan perlumbaan di negara jiran sebelum ini.
“Pelumba kelahiran Dungun, Kee Zhe Yie yang berusia 19 tahun turut terpilih bagi siri jelajah perlumbaan di benua Eropah ini selepas mencuri tumpuan meraih jersi putih pada perlumbaan Tour Gateh D’Tranung yang baru melabuhkan tirai sebelum Ramadan.
“Kami yakin matlamat utama program latihan ini tercapai kerana pelumba bakal berkampung di Belgium selama 15 hari dan seterusnya meneruskan siri jelajah ke beberapa venue perlumbaan berlainan seperti Kastanjestraat, Zonnebeke, Kerkhofstraat dan 11 lagi bandar yang terdapat di Belgium sebelum menuju ke Belanda bagi meneruskan baki perlumbaan,” katanya.
Beliau ditemui selepas program berbuka puasa bersama pelumba di Restoran Kau & Aku Cafe, dekat sini, malam tadi, yang turut dihadiri Pengarah MSNT, Ahmad Shahrizal Yahaya. Skuad berbasikal Terengganu dijadualkan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) lewat petang ini.
Sementara itu, Ahmad Shahrizal berkata, berdasarkan barisan pelumba serta prestasi semasa dipamerkan dalam beberapa kejohanan, beliau yakin sasaran awal skuad berbasikal Sukma untuk merangkul 12 pingat emas bakal terlaksana.
Ketika Sukma 2018 di Perak, skuad berbasikal Terengganu meraih 14 emas, 8 perak dan 6 gangsa sekali gus membantu kontinjen negeri muncul juara keseluruhan dengan mengutip 160 pingat.
Artikel Penuh: https://www.hmetro.com.my/arena/lain/2022/04/832145/20-perlumbaan-di-eropah-nanti-pelumba-muda-terengganu
Hakcipta Terpelihara © 2022 Harian Metro