Wan Sukairi ketika sesi penggulungan pada Persidangan DUN Terengganu di sini, hari ini.
Kuala Terengganu: Seramai 86,200 belia bujang dan mahasiswa akan menerima bantuan sekali bayaran sebanyak RM150 seorang pada Jun hadapan.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO Terengganu Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, kerajaan negeri menyediakan peruntukan keseluruhan sebanyak RM13.3 juta untuk bantuan sekali bayaran kepada golongan berkenaan.
Menurutnya, peruntukan untuk bantuan sekali bayaran kepada golongan itu sudah diumumkan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar ketika membentangkan bajet negeri pada November tahun lalu.
“Kerajaan negeri tidak pernah meminggirkan belia serta mahasiswa dan bajet untuk bantuan sekali bayaran bagi membantu meringankan bebanan sudah disediakan.
“Kerajaan negeri dalam proses memperhalusi kaedah yang sesuai untuk melakukan penambahbaikan dengan mengambil kira pelaksanaan Program Dana Bakti Remaja yang diadakan kerajaan terdahulu,” katanya ketika sesi penggulungan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di sini, hari ini.
Wan Sukairi yang juga Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Wakaf Mempelam berkata, berdasarkan rekod terdapat 64,400 belia bujang berusia antara 18 dan 39 tahun serta 21,800 mahasiswa daripada isi rumah berpendapatan RM4,000 dan ke bawah layak menerima bantuan sekali bayaran itu.
Ketika mengulas mengenai kerosakan gelanggang futsal di negeri ini, Wan Sukairi berkata, kerajaan sudah melakukan kerja membaik pulih sebanyak 17 kerosakan gelanggang futsal yang mengalami kerosakan pada tahun lalu.
“Kerajaan negeri sudah berbincang dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk mendapatkan peruntukan bagi melakukan kerja membaiki kerosakan empat gelanggang futsal masing-masing di Besut, Setiu, Dungun dan Marang,” katanya.
Artikel Penuh: https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2022/03/824398/bujang-mahasiswa-terengganu-terima-bayaran-bantuan-jun-nanti
Hakcipta Terpelihara © 2022 Harian Metro