Skip to main content
APA ITU

PITAS2030

Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS2030) merupakan Pelan Induk yang menggabungkan pembangunan manusia dan pembangunan ekonomi secara holistik dan komprehensif. Secara makronya, halatuju pembangunan manusia memberi tumpuan kepada melahirkan rakyat yang beragama, bermasyarakat dan berkebajikan.

Manakala halatuju pembangunan ekonomi memberi tumpuan kepada meningkatkan peluang pekerjaan dan menghasilkan pendapatan baharu kepada Kerajaan Negeri Terengganu Darul Iman. Kedua-dua elemen dalam PITAS2030 ini akan mewujudkan model pembangunan Islam yang akan menjadi contoh kepada masyarakat Malaysia.

PRINSIP & FALSAFAH

7 PRINSIP PITAS2030

  1. Pematuhan Kepada Prinsip Islam
  2. Insan Berkualiti Aset Terpenting Negeri (Kerajaan Teknokrat)
  3. Pembangunan Lestari
  4. Kekayaan & Hasil Tempatan Adalah Untuk Rakyat
  5. Negeri Berkebajikan
  6. Kerajaan Negeri Sebagai Pemandu, Pemudahcara & Pemantau
  7. Budaya Politik Matang dan Sejahtera

FALSAFAH

Membina sebuah masyarakat & pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hakamnya menuju keredhaan Allah.

PEMBOLEHDAYA

ITQAN INSANI

  • Bagi melahirkan insan yang rabbani meliputi penekanan aqidah, syariah dan akhlak.
  • Keperluan pembangunan manusia merentasi portfolio dan jabatan bagi memastikan teras strategi dapat dicapai dengan baik dan sempurna.

TEKNOLOGI ICT DAN IR 4.0

  • Menekankan tranformasi digital yang memberi impak besar dalam kehidupan dan ekonomi.
  • Pelaksanaan aktiviti bisnes digital ini dalam organisasi dan masyarakat akan membentuk ekosistem digital yang baharu seterusnya akan mencetus pembentukan masyarakat dan ekonomi digital.

KESEJAHTERAAN PENTADBIRAN

  • Melibatkan perubahanan polisi dan biokrasi yang diperlukan bagi menjayakan PITAS2030.

INFRASTRUKTUR DAN PENGANGKUTAN

  • Pembangunan infrastruktur akan diselaraskan mengikut keperluan Teras Strategik yang melibatkan pembangunan industri, pemerkasaan pertanian dan pemantapan pelancongan

DANA DAN PELABURAN

  • Diperkasakan menerusi industri pelancongan, pertanian, industri minyak & gas, galian dan sumber mineral.
10 TERAS STRATEGIK

TERAS STRATEGIK 1

PEMANTAPAN PENDIDIKAN DAN PENGUKUHAN PEMBANGUNAN INSAN

Pemantapan sistem pendidikan akan dilaksanakan berasaskan nilai-nilai rabbani dari prasekolah hingga pengajian tinggi, dengan mengintegrasikan elemen sains, teknologi dan inovasi. Pembudayaan pendidikan sepanjang hayat juga akan dirangsang untuk melahirkan masyarakat yang berilmu dan beragama. Usaha ini akan memposisikan Terengganu sebagai Hab Pendidikan Islam Nusantara.

Dalam agenda pengukuhan pembangunan insan, pemerkasaan Modul Itqan Insani akan ditekankan, yang memberi fokus kepada 10 segmen rakyat terhadap pemahaman keindahan Islam yang syumul dan kepentingan peningkatan kecekapan dalam memberi perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.

 

TERAS STRATEGIK 2

KELESTARIAN PELANCONGAN DAN ALAM SEKITAR TERENGGANU

Teras strategik ini menekankan kelestarian pelancongan melalui penggalakan pembangunan produk pelancongan yang bersumber daripada kekuatan negeri, serta memperkuat promosi pelancongan melalui penjenamaan pelancongan Terengganu sebagai persediaan untuk Tahun Melawat Terengganu pada tahun 2027.

Pengurusan pelancongan juga akan diberi perhatian melalui penaiktarafan status Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu sebagai pusat pembangunan pelancongan dan kebudayaan negeri Terengganu. Selain itu, sektor pelancongan juga dijadikan sebagai salah satu sumber pendapatan baharu utama bagi kerajaan negeri.

TERAS STRATEGIK 3

PENINGKATAN PENGELUARAN HASIL PERTANIAN

Teras strategik ini memberi penumpuan kepada peningkatan pengeluaran hasil pertanian Terengganu sehingga meningkatkan tahap sara diri (self sufficiency level – SSL) negeri. Peningkatan pengeluaran hasil pertanian melibatkan penambahbaikan ekosistem dan value-chain pertanian, penstrukturan peruntukan kewangan yang lebih efektif serta menarik kedatangan pelabur dari dalam dan luar negara.

Selain itu, pemerkasaan keselamatan dan kualiti makanan turut menjadi fokus teras strategik ini melalui peningkatan kesedaran, keupayaan serta kemahiran pemain industri dan pengguna, juga menambah bilangan ladang dan premis yang mendapat persijilan kualiti. Rantaian nilai juga akan dicapai dengan membangunkan industri huluan, kajian dan pembangunan produk hiliran yang mampu bersaing di pasaran, serta meneroka dan memperluas peluang pemasaran, seterusnya mencapai agenda Terengganu sebagai Gedung Pengeluaran Makanan Negara.

TERAS STRATEGIK 4

PEMERKASAAN SYARIAH DAN PELUASAN DAKWAH

Pemerkasaan syariah akan dilaksanakan menerusi pengukuhan dasar, enakmen dan penguatkuasaan, pemerkasaan pengurusan sumber manusia melibatkan sukarelawan syariah, peluasan kempen dan penambahbaikan infrastruktur pelaksanaan syariah Terengganu.

Peluasan dakwah pula merangkumi pembangunan da’i yang kompeten, pengoptimuman institusi masjid dan kepelbagaian medium dakwah untuk menyampaikan kefahaman Islam kepada masyarakat secara konsisten dan berstruktur. Usaha ini bertujuan untuk membudayakan penghayatan Islam di semua segmen rakyat, termasuk peringkat komuniti, dengan slogan ‘Indahnya Hidup Bersyariat’.

TERAS STRATEGIK 5

PEMBANGUNAN BANDAR BAHARU LESTARI & KEDIAMAN PATUH SYARIAH

Bandar baharu lestari akan dibangunkan melalui pengukuhan kerjasama strategik antara kerajaan dan swasta, dengan tujuan mencukupkan keperluan perumahan serta memperkasakan sosioekonomi dan alam sekitar dalam kalangan rakyat. Pemilihan lokasi dan pemantauan pembangunan akan diselaraskan di bawah Jawatankuasa Penswastaan Negeri, dengan mengambil kira perancangan Pembangunan Berorientasikan Transit (Transit Oriented Development – TOD) di Kawasan sekitar enam stesen Laluan Rel Pantai Timur (East Coast Railway Link-ECRL).

Pembinaan kediaman patuh syariah akan dirancakkan melalui penambahbaikan dasar, perjanjian dan inisiatif perumahan Terengganu yang mesra rakyat dan pemaju serta menjaga kepentingan kerajaan. Selain itu, jurang harga diminimumkan dengan matlamat untuk menyediakan rumah kepada pelbagai lapisan masyarakat.

Peningkatan kecekapan pengurusan akan diberikan penumpuan dalam pentadbiran kerajaan tempatan bagi menyelesaikan permasalahan rakyat dan pembudayaan Terengganu Bersih.

TERAS STRATEGIK 6

PEMBINAAN BELIA RABBANI, PENERUSAN KECEMERLANGAN SUKAN DAN PEMERKASAAN NGO

Pembinaan belia rabbani difokuskan melalui platform Akademi Kepimpinan al-Fateh untuk melahirkan generasi kepimpinan belia pelapis. Penekanan kepada pengukuhan pembangunan belia melalui pusat kegiatan belia bagi menerapkan nilai keagamaan sebagai asas penting dalam membendung gejala sosial dan kegiatan jenayah.

Penerusan kecemerlangan sukan meliputi dua segmen melibatkan pemerkasaan sukan massa untuk memupuk gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat, pengisytiharan Terengganu sebagai Negeri Kayuhan Basikal (Land of Cyclist), dan pembangunan sukan sunnah. Segmen kedua adalah meneruskan kecemerlangan sukan atlet dengan mengoptimumkan infrastruktur sedia ada dan mengadakan perkongsian pintar bersama pakar bidang sukan dalam membuat pemilihan bakat (talent scouting) bagi menjadikan Terengganu sebagai Negeri Kuasa Sukan.

Pemerkasaan NGO melibatkan pembangunan NGO dalam pelbagai segmen dengan menyediakan kemudahan dan pengurusan di Anjung NGO Sejahtera Terengganu serta meningkatkan sokongan sukarelawan melalui T-Volt untuk memperkasakan program komuniti rakyat.

TERAS STRATEGIK 7

PEMERKASAAN KEUSAHAWANAN, KOPERASI, PENGUPAYAAN SUMBER MANUSIA DAN PENDAYAUPAYAAN PENGGUNA

Pemerkasaan bidang keusahawanan dilaksanakan dengan menambah bilangan usahawan baru di peringkat komuniti dan meningkatkan prestasi usahawan sedia ada melalui bantuan dan inisiatif seperti Geran Usahawan Belia dan Tabung Usahawan Sejahtera (TUGAS). Rantaian lengkap produk keusahawanan akan diperkasakan agar mampu menembusi pasaran semasa dan mempelopori Pembangunan Industri Halal Terengganu.

Pengupayaan sumber manusia akan dilaksanakan melalui Gerbang Kerjaya Terengganu dan pembangunan modul sumber manusia yang berlandaskan nilai rabbani dan teknokrat. Langkah ini bertujuan untuk mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan rakyat dan memastikan keperluan tenaga kerja Terengganu dipenuhi.

TERAS STRATEGIK 8

KETERANGKUMAN KEBAJIKAN RAKYAT & PENINGKATAN KEDAYAAN WANITA

Keterangkuman kebajikan rakyat akan dilaksanakan melalui peluasan bantuan kebajikan mencakupi semua segmen berkonsepkan citizen centric dan pembudayaan persekitaran saling berkebajikan dalam kalangan rakyat bagi menjadikan Terengganu sebagai Negeri Berkebajikan.

Peningkatan kedayaan wanita akan memfokuskan kepada pemartabatan wanita mengikut konsep dan prinsip Islam menerusi pelaksanaan Dasar Wanita Terengganu serta memperkasakan suri rumah Terengganu menerusi kegiatan sosial, keagamaan dan ekonomi.

TERAS STRATEGIK 9

PENGUKUHAN PEMBANGUNAN INFRASTRUKTUR & LUAR BANDAR DAN PENGURUSAN BENCANA

Pengukuhan infrastruktur dan utiliti melibatkan penyediaan kemudahan yang seimbang di setiap daerah. Pengurusan latihan kepada kepimpinan komuniti akan ditekankan bagi meningkatkan kecekapan dalam menyelesaikan masalah rakyat.

Pengurusan bencana akan memfokuskan kepada pengurusan sebelum, semasa dan selepas bencana. Ia melibatkan perancangan dan pembinaan prasarana pengawalan impak bencana, sistem komunikasi yang efektif serta penyelarasan bantuan secara menyeluruh.

 

TERAS STRATEGIK 10

PERTUMBUHAN EKONOMI DIGITAL, PENDAPATAN BAHARU DAN TEKNOLOGI HIJAU & PEMERKASAAN SEKTOR INDUSTRI DAN PERDAGANGAN

Pertumbuhan ekonomi digital akan dipacu menerusi rangka tindakan (blueprint) Ekonomi Digital Terengganu dengan mengadaptasi rangka tindakan Ekonomi Digital Malaysia bagi menjadikan Terengganu sebagai negeri digital pintar.

Terengganu akan memfokuskan dua potensi baharu iaitu tenaga boleh baharu (renewable energy) dan sumber galian unsur nadir bumi (rare-earth element). Tenaga boleh baharu akan melibatkan penerokaan sumber di Terengganu bagi membekal sumber hidrogen untuk tujuan eksport. Sumber galian unsur nadir bumi akan memfokuskan pembangunan bersepadu melibatkan huluan (upstream), pertengahan (midstream) dan hiliran (downstream) bagi mengoptimumkan hasil kepada negeri dan rakyat Terengganu.

Peningkatan pendapatan baharu disasarkan sebanyak 10% menerusi pengoptimuman sumber negeri sedia ada, eksplorasi sumber baharu dan penjanaan peluang pendapatan baharu yang telah dirangka dalam Pelan Penjanaan Pendapatan Baharu Negeri Terengganu (NewIncomeTerengganu – NIT).

MAJU
  • Pembangunan infrastruktur dan ekonomi yang menyelesaikan masalah rakyat.
  • Pembangunan insan berteraskan kepada prinsip Islam yang melahirkan masyarakat yang intelek dan berdaya saing.
  • Kelestarian pembangunan fizikal (ekonomi, masyarakat dan alam sekitar) berasaskan prinsip Islam.

BERKAT
  • Prinsip Islam dijadikan asas dalam pentadbiran dan ekonomi yang bebas riba, rasuah, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa.
  • Penghayatan taqwa menjadi asas terpenting dalam pentadbiran dan pembangunan masyarakat.

SEJAHTERA
  • Konsep Keselamatan : Pengurangan kebimbangan terhadap ancaman jenayah, masalah sosial dan kesan bencana kepada rakyat.
  • Konsep Berkebajikan : Penggabungan jalinan peranan dan sumbangan kerajaan, badan korporat dan  rakyat untuk membangunkan negeri.
  • Konsep Kemakmuran :  Perkongsian pembangunan dan hasil negeri yang dinikmati oleh semua masyarakat.