Skip to main content

Penulis:
Maisyarah Mohd Mohyidin
Pegawai Penyelidik Portfolio (Industri & Keusahawanan)

 

Sebagai salah satu usaha mengurangkan kadar pengangguran di negeri ini, Terengganu Human Resource Development Centre (T-HRDC) telah bekerjasama dengan PERKESO bagi memberi peluang kerjaya kepada warga negeri Terengganu khususnya kesan pandemik COVID-19 yang telah melanda dunia dua tahun yang lalu.

 

Dengan kerjasama erat di antara T-HRDC dan PERKESO, kerajaan juga dapat memahami kedudukan permintaan dan tawaran tenaga kerja dalam Negeri Terengganu, seterusnya memahami jurang yang wujud mengikut daerah-daerah dan bidang-bidang yang diperlukan dalam pasaran kerja. Daripada kefahaman itu, kerajaan negeri telah menggariskan beberapa strategi jangka pendek dan panjang untuk menangani masalah pengangguran ini.

Di antara usaha yang telah dilaksanakan oleh kerajaan negeri adalah pembinaan PCK (Pusat Cari Kerja) yang bertindak sebagai one-stop centre dengan konsep proses pemadanan kerjaya bersasar dan lebih berkesan. Usaha ini dilihat mampu melahirkan pekerja dari pelbagai bidang kepakaran dan pastinya anak-anak muda yang mempunyai pelbagai kelulusan dari pelbagai bidang dapat diserapkan mengikut pengkhususan masing-masing. PCK yang juga merupakan Mercu Tanda PITAS2030 telah mula beroperasi sejak Januari 2023, bertempat di Galeri Kerjaya Terengganu di hadapan lapangan terbang Sultan Mahmud Kuala Terengganu.

Melalui PCK, rakyat boleh datang dengan dua tujuan iaitu samada mencari peluang kerja atau sekiranya pihak majikan mahu melaporkan peluang pekerjaan yang ada. PCK ini beroperasi secara “office hour” yang memudahkan rakyat untuk datang tanpa menunggu program Outreach dianjurkan oleh kerajaan negeri. Dengan platform ini mampu mewujudkan satu sistem memperluaskan lagi iklan mengenai kekosongan peluang pekerjaan yang ada di setiap DUN di seluruh negeri Terengganu.

 

Selain dari itu, sesi temuduga yang diadakan di PCK ini juga tidak hanya dijalankan secara fizikal, malah sesi temuduga turut dilangsungkan secara maya melalui beberapa bilik disediakan yang dihubungkan terus ke pihak sumber manusia syarikat-syarikat berkenaan untuk mengadakan temuduga secara berkala.

 

Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar berkata, kadar pengangguran di Terengganu pada suku tahun pertama tahun ini merekodkan penyusutan kepada 4.2 peratus berbanding 4.3 peratus dalam tempoh yang sama tahun lalu. Rakyat negeri ini disarankan untuk menggunakan kemudahan PCK ini terutamanya graduan atau belia yang sedang mencari peluang pekerjaan secara lebih berkesan dan cepat. Kerajaan Negeri sentiasa komited untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat dan program ini adalah salah satu inisiatif yang membawa peluang pekerjaan kepada seluruh penduduk negeri Terengganu.

Leave a Reply