HANAFIAH Mat menunjukkan risalah bantuan dana raya, i-Fitri selepas Sidang DUN Terengganu Ke-15 di Kuala Terengganu hari ini. – UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
KUALA TERENGGANU: Bantuan dana raya, i-Fitri bernilai RM56 juta dibayar kepada 148,700 ketua isi rumah (KIR) di negeri ini yang layak mulai 17 hingga 23 April ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, bantuan RM400 diberikan kepada 128,450 isi rumah miskin manakala RM250 pula kepada 20,250 isi rumah berpendapatan antara RM2,500 hingga RM5,000. Katanya, mereka yang layak boleh memohon bantuan berkenaan melalui portal https://ibantuan.terengganu.gov.my bermula esok hingga 31 Mac.
“Peruntukan dana i-Fitri meningkat berbanding RM33.4 juta yang diumumkan Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dalam Belanjawan Terengganu 2022 kerana kita mahu lebih ramai rakyat menerima manfaat tersebut.
“Pembayaran dibuat di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing dan pemohon yang berjaya akan menerima baucer menerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK),” katanya kepada pemberita selepas Sidang DUN Terengganu Ke-15, di sini hari ini.
Kerajaan Pas Terengganu mengembalikan pemberian dana raya yang diperkenal Barisan Nasional (BN) bagi meringankan beban rakyat terutama menjelang Hari Raya Aidilfitri.
Sebelum ini, isu dana raya menjadi pertikaian ramai kerana bantuan berkenaan dihentikan kerajaan negeri pada tahun lalu, sebaliknya disalurkan dalam bentuk bantuan Covid-19 kepada golongan yang memerlukannya.
Menurut Hanafiah, pemohon yang layak mestilah menetap dan mengundi di Terengganu di samping berdaftar dalam sistem Profil Rakyat Terengganu 2020 (PRT20) dengan pendapatan seperti ditetapkan dalam kedua-dua kategori.
Bagaimanapun, katanya, semua penjawat awam dan lantikan kerajaan yang menerima elaun tetap bulanan, kontraktor berdaftar serta peniaga berlesen tidak layak untuk memohon bantuan berkenaan.
Katanya, kerajaan negeri berhak menolak permohonan dan meminda apa-apa syarat di atas dari semasa ke semasa tanpa notis.
Artikel Penuh: https://www.utusan.com.my/nasional/2022/03/rm56-juta-bantuan-i-fitri-terengganu-dibayar-mulai-17-april/
Hakcipta Terpelihara © 2022 TRDI