Skip to main content

KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri akan membangunkan pusat jagaan kanak-kanak autisme pertama di Malaysia yang menyediakan kemahiran vokasional kepada golongan sasar.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, pusat yang dibangunkan dengan kos kira-kira RM2 juta itu bakal beroperasi pada Jun depan di Batu Buruk, di sini.

Katanya, modul pembelajaran pusat berkenaan disediakan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) manakala aspek pengurusan pula dikendalikan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dilantik.

“Ini adalah model baharu bagi pusat seumpamanya di Malaysia dan anak-anak akan diajar ilmu-ilmu seperti pertuturan, membaca Al-quran di samping kemahiran lain.

“Menerusi pendedahan yang diberikan kita berharap agar kanak-kanak autisme di negeri ini dapat berdikari dan seterusnya memiliki pekerjaan apabila dewasa kelak,” katanya kepada pemberita di Wisma Darul Iman semalam.

Menurut Hanafiah, cadangan pembangunan pusat jagaan kanak-kanak autisme model baharu itu telah dikemukakan kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd. Harun dalam pertemuan di Putrajaya baru-baru ini.

Katanya, berdasarkan rekod Terengganu mempunyai lebih 500 anak-anak autisme yang berdaftar dengan JKM.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, kerajaan negeri akan turut membuka pusat penjagaan kanak-kanak terbiar di Pusat Latihan Darul Iman (DITC) di Kemaman pada pertengahan bulan depan.

“Untuk fasa pertama, pusat dikenali sebagai Raudhatul Jannah itu akan menempatkan seramai 40 kanak-kanak sekolah rendah masing-masing 20 lelaki dan perempuan.

“Golongan sasaran kita adalah kalangan mereka yang didera atau mangsa keganasan rumah tangga hingga terbiar,” katanya.

Artikel Penuh : https://www.utusan.com.my/nasional/2021/02/terengganu-bangun-model-baharu-pusat-kanak-kanak-autisme/
Hakcipta Terpelihara © 2021 Utusan Malaysia

Leave a Reply