KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri sedang mengumpul data anak yatim yang kematian ibu bapa disebabkan COVID-19.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat, berkata pengumpulan data itu perlu bagi memastikan bantuan wang tunai dapat disalurkan secara terus.
Katanya, setakat ini kerajaan negeri hanya menerima maklumat awal seramai 70 pelajar menjadi yatim disebabkan kematian ibu atau bapa serta penjaga disebabkan COVID-19.
“Jabatan Kesihatan negeri (JKNT) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri sudah diminta mengumpul data berhubung perkara itu,” katanya kepada media ketika ditemui di lobi Dewan Undangan negeri (DUN), sempena Mesyuarat Kedua Penggal Keempat DUN Keempat Belas, di sini, hari ini.
Pada pembentangan Belanjawan 2022 yang bertemakan Merakyatkan Sejahtera Untuk Semua, Isnin lalu, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengumumkan pemberian wang tunai RM500 kepada yatim dan yatim piatu serta caruman tabung pendidikan kepada pelajar yang kematian ibu bapa dan penjaga disebabkan COVID-19.
Hanafiah yang juga Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Chukai berkata, pemberian dalam bentuk tunai itu sebagai tanda simpati kerajaan negeri.
Katanya, setakat ini tiada laporan membabitkan kanak-kanak menjadi yatim piatu disebabkan ibu bapa meninggal dunia disebabkan COVID-19.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat. – NSTP/Ghazali Kori
Artikel Penuh : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/11/888416/terengganu-kesan-anak-yatim-kematian-ibu-bapa-akibat-covid-19
Hakcipta Terpelihara © 2021 Berita Harian