Penulis:
Muhammad Zakwan Mohd Zaid
Pegawai Penyelidik Portfolio (Pertanian & Pelancongan)
Semakin tinggi bilangan penduduk, semakin banyak makanan yang diperlukan. Jabatan Perangkaan Malaysia memaklumkan bahawa jumlah penduduk Malaysia lebih tinggi pada tahun 2022 berbanding tahun 2021. Maklum dengan situasi ini, kerajaan Terengganu komited untuk memastikan kemajuan industri pertanian melalui pelbagai projek yang dirangka melalui #PITAS2030.
Usaha kerajaan Terengganu melalui #PITAS2030 dilihat berjaya apabila sumbangan sektor pertanian kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Terengganu telah menunjukkan peningkatan pada tahun 2022 (-4.7%) berbanding tahun 2021 (-5.2%). Sekalipun nilai ini dikatakan rendah, perlu difahami situasi Terengganu yang kerap dilanda bencana alam seperti banjir pada setiap akhir tahun yang menjejaskan hasil pertanian.
Antara projek yang telah dilaksanakan termasuklah program melabuh unjam dan tukun tiruan, pemberian Skim Bantuan Modal Tani, pembangunan infrastruktur tanah terbiar, penggalakan pengeluaran beras MyGap Terengganu, peningkatan pengeluaran Melon Manis Terengganu dan paling membanggakan adalah projek penanaman lada hitam komersial di tanah bris pertama seumpamanya di Malaysia dengan kerjasama syarikat antarabangsa McCormick Ingredients.
Selain itu, pelan tindakan Setiu Sebagai Gedung Pengeluaran Makananan turut diperkenalkan dengan pelbagai projek seperti pengeluaran anak benih kerapu hibrid di Kampung Limau Nipis, tanaman ubi vitato secara berkelompok di Kampung Banggol, tanaman napier dan hilirannya di Kampung Setia Jaya dan Tanaman Kontan di Kampung Setia Jaya.
Tahun lepas, kerajaan negeri berjaya memanfaatkan lebih 1000 dari 8000 hektar tanah terbiar dengan projek pertanian yang menguntungkan rakyat sejak 2008. Untuk tanah terbiar ini, kerajaan negeri menyediakan RM1 juta setiap tahun yang digunakan untuk menambah baik infrastruktur tanah tersebut. 28,260 permohonan tanah juga diluluskan sejak 2019 hingga Disember 2022. Juga dilaporkan ada 12,000 dari keseluruhan 250,000 hektar tanah terbiar dan belum diusahakan yang sesuai untuk pertanian di negeri ini. Dengan anugerah tanah yang banyak ini, sudah tentu industri pertanian masih boleh dikembangkan lagi.
Cita-cita untuk memastikan industri pertanian negeri ini terus maju dan kompeten, di samping menyahut gagasan Dasar Agromakanan Negara 2.0 pasti boleh dicapai sekiranya #PITAS2030 sentiasa berada di landasan yang betul. Sasaran untuk sektor pertanian negeri memenuhi kecukupan makanan rakyat negeri ini pasti akan tercapai andai ia terus menjadi keutamaan kerajaan negeri Terengganu.
Rujukan:
1. Kenyataan Media bagi Penerbitan Anggaran Penduduk Semasa, Malaysia, 2023, Malaysia mencatatkan kadar pertumbuhan penduduk 2.1 peratus didorong oleh migrasi antarabangsa oleh Kementerian Ekonomi Jabatan Perangkaan Malaysia.
2. Jabatan Perangkaan Malaysia Terengganu, Kementerian Ekonomi.
3. https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2022/04/943219/terengganu-manfaat-lebih-1000-hektar-tanah-terbiar
4. https://www.terengganu.gov.my/index.php/ms/arkib/berita-semasa/1829-terengganu-lulus-28-260-permohonan-tanah