Skip to main content

Penulis:
Juliana Sharida Abdullah
Ketua, Unit Penyelidikan

 

Industri pelancongan Negeri Terengganu kini kembali rancak dengan kepelbagaian produk dan lokasi pelancongan yang menjadi tarikan pelancong sejak pandemik Covid-19 reda.  Selain daripada pulau yang menjadi tarikan utama pelancong, kini Terengganu turut memperkenalkan produk pelancongan berasaskan komuniti (Community-based Tourism – CBT) yang membabitkan 39 lokasi di seluruh negeri bermula pada 2022.

 

Pelancongan Berteraskan Komuniti (Community-Based Tourism-CBT) adalah pada asalnya diusahakan secara kecil-kecilan dengan kerjasama penduduk setempat dan lokasi ini menjadi lebih berkembang apabila Kerajaan negeri Terengganu memberi bantuan kewangan untuk memajukan lagi perusahaan berkenaan. Kerajaan negeri telah memperuntukkan sebanyak RM1 juta bagi mengindahkan produk-produk pelancongan sedia ada dan produk pelancongan berasaskan komuniti (CBT) di seluruh negeri pada tahun ini.

 

Menurut salah seorang pengusaha CBT iaitu pengusaha Dataran Batu Putih (DBP) yang mesra dipanggil Pok Mang, pada asalnya DBP hanyalah dibina sebagai tempat makan yang mana dibina gerai-gerai kecil jualan makanan tempatan. DBP mula dibina sebelum pandemik covid 19, namun mendapat perhatian selepas menerima pengiktirafan sebagai salah satu CBT Negeri Terengganu dan secara tidak langsung DBP dipromosikan oleh media-media Kerajaan dan pengunjung-pengunjung DBP sendiri.

Selain daripada Dataran Batu Putih, satu lagi lokasi CBT yang menarik kedatangan pelancong dan dijadikan content dalam Vlog ialah Bukit Maras. Bukit Maras yang terletak di Daerah Kuala Nerus ini menjadi pilihan penggemar aktiviti-aktiviti lasak seperti Paragliding dan Hiking. Aktiviti Paragliding atau Luncur Angin ini akan diselia dan dibantu operator yang bertugas dan disediakan juga perkhidmatan pengangkutan dari kaki bukit sehingga ke atas puncak Bukit Maras. Untuk penggemar Hiking pula Bukit Maras menyediakan tiga trek yang boleh dilalui iaitu Trek Tanah Merah dengan jarak 1.8 kilometer (km), Trek Denai A (jarak 3.3km) dan Trek Denai B (jarak 5.8km).

Antara lokasi-lokasi CBT yang lain yang juga menjadi tumpuan pengunjung pada masa sekarang adalah seperti Kalang Warisan Pulau Manis di Serada, Pulau Kekabu di Marang, Little Lembah Amazon Sungai Berang di Hulu Terengganu, Homestay Kampung Kayu Kelat di Besut, Kampung Pasir Raja di Dungun, dan banyak lagi.

Leave a Reply