Skip to main content

Penulis:
Ahmad Haziq Che Adlan
Pegawai Penyelidik Portfolio (Pendidikan & Modal Insan)

 

Pada tahun 2018, Terengganu mencatatkan 9,423 bilangan penyalah guna dan penagih dadah serta bahan. Bilangan ini memberi kesan yang tidak baik dalam masyarakat khususnya dalam aspek keselamatan dan pembangunan modal insan. Selari dengan prinsip kedua Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS2030), iaitu ‘Insan Berkualiti Aset Terpenting Negeri’, Kerajaan Terengganu bersungguh-sungguh membangunkan modal insan berkualiti dengan menubuhkan sebuah pusat pemulihan dadah holistik iaitu  Perkampungan Darul Barakah di bawah seliaan Yayasan Islam Terengganu. Penubuhan Perkampungan Darul Barakah ini menjadi bukti keprihatinan Kerajaan Negeri Terengganu dalam menangani isu dadah secara serius, bahkan pihak kerajaan tidak sekali-kali meminggirkan golongan penagih malah  memberi ruang dan peluang kepada mereka untuk kembali ke pangkal jalan.

 

Apa yang menjadi kelainan di sini ialah kaedah rawatan yang digunakan iaitu konsep psikospiritual dalam pemulihan penagih dadah. Terapi penagihan dadah berasaskan kaedah psikospiritual dapat mengukuhkan dalaman penagih dadah sekali gus dapat memberikan rawatan yang lebih berkesan kepada golongan penagih dadah. Sesebuah program pemulihan dadah itu akan menjadi lebih efektif sekiranya melibatkan aspek kaunseling dan terapi spiritual. Terapi psikospiritual Islam terbukti telah menunjukkan hasil yang memberangsangkan dalam rawatan pemulihan dadah.

 

Di Perkampungan Darul Barakah ini, terdapat lima modul yang telah digunakan merangkumi aspek psikospiritual iaitu Penyucian Jiwa (Tazkiyah al-Nafs), Pembangunan Minda (Ta’lim), Penjagaan Jasmani dan Kesihatan (Tarbiyah Jismiyah), Pembinaan Keluarga dan Persekitaran (Bi’ah) serta Pertanian dan Penternakan (Kemahiran). Semua pelatih didedahkan dengan kesemua modul tersebut demi memastikan ketersediaan diri dan jiwa mereka menghadapi dunia luar kelak.

 

Akhirnya, usaha yang tidak putus asa daripada Kerajaan Terengganu melalui Perkampungan Darul Barakah telah membuahkan hasil apabila seramai 15 orang pelatih pusat ini telah berjaya keluar daripada kepompong penagihan dadah dengan mengikuti program After Care yang disediakan oleh pusat ini. Kesemua mereka ini telah mendapat peluang kerja dalam sektor pembinaan dan Oil & Gas (O&G). Lihatlah betapa prihatinnya Kerajaan Terengganu dalam menyantuni semua golongan tanpa mengira sesiapa sahaja bahkan terus memberi sokongan dan dorongan kepada golongan penagih dadah ini demi memastikan agenda pembangunan insan dapat direalisasikan. 

Leave a Reply