KUALA TERENGGANU, 28 April – Pembangunan modul Itqan Insani menjadi usaha terbaru Kerajaan Terengganu dalam melengkapkan proses pendidikan, pentarbiahan dan pembangunan modal insan yang mencakupi pelbagai segmen masyarakat rakyat di negeri itu.
Menteri Besar, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, dalam suasana semasa dan masa depan yang penuh cabaran dari pelbagai sudut, kerajaan bertanggungjawab menyediakan dan melengkapkan rakyat untuk berdepan dengannya.
“Kita mengetahui bahawa manusia merupakan punca utama dalam menentukan ketamadunan sesebuah negara atau negeri. Oleh itu, manusia merupakan modal paling benilai dalam sesebuah negara atau negeri yang kita sebut sebagai modal insan.
“Hari ini kita mengorak langkah dalam membawa agenda modal insan sekali gus melengkapkan inisiatif yang telah diambil oleh kerajaan negeri. Modul ini juga dilihat secara komprehensif kerana menyasarkan 10 golongan yang merangkumi kebanyakan rakyat Terengganu” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sewaktu merasmikan pelancaran Modul Itqan Insani di Wisma Darul Iman, hari ini.
Jelasnya, pembangunan modal insan perlu dilakukan secara bersepadu dan sistematik agar ia dapat memberikan manfaat besar dan baik kepada negara atau negeri.
“Sebelum ini, kita sudah menggerakkan Dasar Intergriti Darul Iman (DIDI) dan Garis Panduan Hiburan, Persembahan Kebudayaan, Pelancongan dan Sukan Negeri Terengganu. Modul ini merupakan satu lagi usaha kerajaan negeri dalam melengkapkan proses pendidikan dan pentarbiahan rakyat Terengganu.
“Besarlah harapan kita kepada agensi pelaksana dalam memastikan setiap modul yang dilaksanakan mencapai objektifnya, sekaligus melahirkan jati diri dan budaya sebagaimana yang dihasratkan dalam dasar Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera,” katanya.
Artikel Penuh : https://www.trdi.my/modul-itqan-insani-medium-pembangunan-sahsiah-rakyat
Hakcipta Terpelihara © 2021 TRDI