Skip to main content
AZMAN melihat padi MyGAP yang akan dituai seterusnya menghasilkan beras MyGAP. FOTO Bernama

Besut: Beras Amalan Pertanian Baik Malaysia (MyGap) atau Beras MyGap yang julung kali dikeluarkan di Terengganu dijangka berada di pasaran bermula Mei depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan , Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, kerja menuai padi kini sedang dilakukan membabitkan kawasan seluas 182.2 hektar di bawah Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu Terengganu Utara (IADA Ketara).

“Ia membabitkan 196 ladang MyGAP yang melibatkan 170 peserta dan 33 Kumpulan Pengguna Air (KPA), manakala anggaran hasil yang bakal dikeluarkan sebanyak 911 tan metrik pada musim penuaian ini.

Padi yang dituai terlebih dahulu dihantar ke Konsortium Kilang Padi di Baruh Masin di sini untuk diproses menjadi beras MyGAP sebelum dibungkus dan dipasarkan,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penuaian Padi myGAP dan Penyampaian Insentif myGAP 2021 AIDA Ketara di Kampung Depu di sini, hari ini.

Hadir sama Pemangku Pengarah Pertanian Terengganu, Zulkifli Amin Yusof dan Pengarah IADA Ketara, Fatimah Hamid.

Azman berkata, bagi merealisasikan hasrat itu kerajaan negeri telah memperuntukkan sebanyak RM400,000 bagi menampung kos pembungkusan dan pemasaran beras.

Katanya, beras MyGAP merupakan beras berkualiti tinggi yang baik untuk kesihatan kerana ia menggunakan bahan kimia yang minimum dan diiktiraf di bawah persijilan MyGAP.

“Selama ini kita hanya mengeluarkan padi MyGAP tetapi apabila dihantar ke kilang padi, ia bercampur dengan padi lain menyebabkan ia tidak menghasilkan beras MyGAP.

Kilang padi milik Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di Baruh Masin akan menjadi kilang khusus untuk memproses padi MyGAP dan dijangka produk yang dihasilkan nanti boleh memenuhi keperluan pengguna tempatan dan luar negara,” katanya.

Artikel Penuh : https://www.hmetro.com.my/agro/2021/03/689266/beras-mygap-keluaran-terengganu-dipasarkan-mei-ini
Hakcipta Terpelihara © 2021 Harian Metro

Leave a Reply