Skip to main content

Penulis:
Hazrin Izwan Che Haron @ Shafiee
Pegawai Penyelidik Portfolio (Teras Industri & Pelancongan)

 

Kerajaan negeri telah merancang untuk melibatkan komuniti setempat dalam memajukan industri pelancongan di Terengganu secara maksimum. Di antara langkah yang telah diambil Kerajaan negeri ialah dengan mengalakkan dan menyelaraskan penyertaan penduduk setempat dengan program pelancongan berasaskan komuniti (CBT).

Program ini menawarkan pakej serta produk pelancongan tempatan yang kreatif dan mampu menarik pengunjung. Selain itu juga, program ini dapat melahirkan pemikiran komuniti yang bertindak ke arah pelancongan. Dengan kerjasama Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, 29 lokasi CBT telah pun dikenal pasti dan disenaraikan  mempunyai produk pelancongan komuniti yang berpotensi untuk diketengahkan.

 

Program CBT ini juga dapat memberi pulangan secara langsung kepada penduduk setempat dan juga menaik taraf produk pelancongan yang dihasilkan penduduk di mana ianya membantu melestarikan industri pelancongan Terengganu.

 

Setakat ini, 9 destinasi CBT telah berjaya dilaksanakan iaitu: Dataran Banggol Cempedak, Pengkalan Warisan, Pengkalan Setar, Pulau Redang, Maras, Kampung Pasir Raja, Dataran Batu Putih, Lata Payung , Kampung Temir dan Zoo Kampung Tok Dir. Maklum balas  dari para pengunjung ke destinasi-destinasi tersebut adalah sangat menggalakan.

 

Peruntukan sebanyak RM10 juta telah disalurkan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) kepada Kerajaan negeri dengan bertujuan untuk membangunkan fasiliti dan juga promosi khusus untuk dua (2) lokasi CBT iaitu Banggol Cempedak dan Pengkalan Setar. Selain bantuan peruntukan, komuniti setempat di kawasan lain juga disarankan supaya lebih kreatif menjadikan lokasi dan produk yang menarik di kawasan mereka untuk dinaiktaraf sebagai lokasi pelancongan CBT.

Leave a Reply