Skip to main content

KERAJAAN negeri Terengganu komited untuk memulihara dan membangunkan Pulau Bidong sebagai lokasi pelancongan bersejarah, kata Menteri Besar Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Menurutnya, Lembaga Muzium Negeri Terengganu yang diamanahkan menjaga kelestarian pulau itu mempunyai kertas cadangan berhubung pembangunan pulau berkenaan untuk dikemukakan kepada Kerajaan Pusat dan negeri.

Katanya, kerajaan negeri akan mengeluarkan peruntukan awal selepas mendapat royalti hasil petroleum daripada kerajaan Persekutuan pada bulan depan untuk membaik pulih beberapa kemudahan seperti laluan pejalan kaki dan menjaga kebersihan di sekitar pulau itu demi keselesaan pengunjung.

“Kita juga beri komitmen untuk menyediakan peruntukan mencukupi dalam Bajet 2019 mengikut pelan komprehensif yang dirancang oleh jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat, Ariffin Deraman,” katanya kepada pemberita selepas lawatan kerja ke Pulau Bidong dekat sini pada Isnin.

Turut serta dalam lawatan itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan, Mohd Nor Hamzah, Pengarah Muzium Terengganu, Mohd Azmi Ngah dan Pengarah Jabatan Pelancongan Terengganu, Tun Faisal Tun Abdul Razak.

Ahmad Samsuri turut melawat ladang ternakan batu karang yang diusahakan Yayasan Coral Malaysia, kawasan perkuburan orang Vietnam, pantai Pasir Tenggara dan monumen peringatan orang Vietnam di pulau itu.

Mengulas lanjut, beliau berkata kerajaan negeri juga akan bekerjasama dengan waris orang Vietnam yang kebanyakannya kini bermastautin di Eropah dan Australia kerana mereka mempunyai nilai sentimental yang sangat signifikan dengan Pulau Bidong.

“Setiap tahun, mereka akan datang ke sini untuk menziarahi kubur nenek moyang mereka dan terbaharu kita dapat tahu ada permohonan untuk melangsungkan perkahwinan di sini….walaupun mereka ini sudah menjadi orang berjaya dalam bidang politik dan ekonomi, namun nilai sentimental mereka terhadap Pulau Bidong sangat tinggi.

“Kerajaan negeri akan menjalin hubungan dengan pewaris orang Vietnam yang ada nostalgia di pulau ini dan berminat untuk sama-sama membangunkan lokasi ini tanpa mencemarkan alam semula jadi dan bahan bersejarahnya,” katanya.

Pulau Bidong diisytihar sebagai pusat penempatan orang hanyut Vietnam (Boat People) pada Ogos 1978 dan sehingga November 1991 dan seramai 252,390 orang pernah berlindung di pulau itu.
Pulau Bidong mula dibuka kepada umum pada April Januari 2017, namun hanya terhad kepada lawatan sehari.

Sejak itu, Pulau Bidong mendapat perhatian pelancong di mana sepanjang April hingga Oktober 2017, seramai 3,862 orang melawat pulau itu manakala sepanjang tempoh tujuh bulan pertama tahun ini, kehadiran 1,806 orang direkodkan.

Artikel Penuh : https://www.astroawani.com/berita-malaysia/fokus-pembangunan-pulau-bidong-sebagai-lokasi-pelancongan-bersejarah-182906
Hakcipta Terpelihara © Astro Awani

Leave a Reply