ANTARA aktiviti yang boleh dilakukan. FOTO Zaid Salim
PUSAT rekreasi Kalang Warisan, Pulau Manis, Serada, di Terengganu memjadi destinasi baru pelancongan dengan kehadiran pengnjung hampir seribu orang setiap hari.
Bukan sahaja pengunjung daripada kalangan masyarakat setempat, Kalang Warisan yang menyajikan pelbagai aktiviti turut menjadi pilihan pelancong luar negeri ini bersantai bersama keluarga.
Beroperasi sejak 31 Julai lalu, Kalang Warisan yang dibangunkan berasaskan Comunity Base Tourism atau Pelancongan Berasaskan Komuniti (CBT) secara tidak langsung membantu meningkatkan kedatangan pelancong ke negeri ini.
Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata, kerajaan negeri memberi sokongan penuh dalam memastikan CBT dapat diwujudkan lebih banyak lagi.
Katanya, komuniti setempat disarankan supaya lebih kreatif bagi menjadikan lokasi menarik di kawasan mereka dinaiktaraf menjadi lokasi pelancongan.
“Banyak tempat menarik di negeri ini yang boleh dibangunkan berasaskan CBT seperti Dataran Batu Putih di Marang, Dataran Banggul Chempedak di Serada dan Kalang Warisan ini adalah projek CBT yang terbaik,” katanya pada sidang media sempena lawatannya ke lokasi berkenaan hari ini.
Penyelaras Kalang Warisan, Mohd Rafi Kori, berkata pelbagai aktiviti air dan darat disediakan antaranya berkayak, menaiki bot, basikal air dan memanah dengan bayaran RM5 bagi tempoh setengah jam.
“Bagi memastikan keselamatan pengunjung, kita juga menyediakan jaket keselamatan dan setiap aktiviti air diwajibkan memakai jaket keselamatan.
“Disamping itu, Kalang Warisan yang beroperasi jam 8 pagi hingga 6.30 petang setiap hari turut menyediakan tapak perkhemahan dan gerai jualan,” katanya.
Tambahnya, orang ramai berpeluang menikmati hidangan Nasi Tenon yang dilengkapi dengan dua lauk pilihan iaitu patin masak tempoyak dan singgang budu yang dijual dengan harga berpatutan.