Skip to main content

Penulis:
Hazrin Izwan Che Haron @ Shafiee
Pegawai Penyelidik Portfolio (Teras Industri & Pelancongan)

 

Kampung Budaya Terengganu yang terletak di Muzium Negeri, Losong merupakan Kampung Budaya pertama di Terengganu yang berkonsepkan “live museum”. Kampung Budaya ini berperanan sebagai pusat sehenti bagi menghimpunkan seni budaya warisan dari seluruh daerah di Terengganu dan adalah satu usaha Kerajaan Negeri dalam memartabatkan warisan tradisi masyarakat Melayu.

 

Kampung Budaya ini menempatkan tujuh rumah tradisional iaitu; iaitu Rumah Nelayan, Rumah Bujang Berserambi Selasar, Rumah Bujang Berkembar, Rumah Limas Belanda, Rumah Tele, Istana Tengku Long, Laman Singgahsana dan Laman Warisan. Iainya turut menawarkan aktiviti demonstrasi seperti pembuatan jala, bubu, keropok, seni dan ukiran khat, kayu, anyaman, wau, gasing, tembikar, tembaga, keris, pameran pakaian tradisional, mencanting batik, memasak bubur Asyura serta persembahan berzanji.

 

Program Kampung Budaya ini telah bermula pada September 2020 dan hingga kini telah berjaya menarik jumlah pengunjung sebanyak 27,000 orang. Kadar harga tiket yang dikenakan kepada pengunjung dewasa (berumur 13 tahun ke atas) pada harga RM10 manakala RM5 bagi kategori kanak-kanak (lapan hingga 12 tahun), warga emas serta orang kurang upaya (OKU).  Bayaran ini bertujuan untuk proses penyelenggaraan dan penambahbaikan untuk memastikan Kampung Budaya ini selalu berada dalam keadaan baik. Selain itu juga perolehan bayaran juga diagihkan bagi usaha-usaha pemuliharaan dan pemeliharaan seni budaya warisan untuk dipasarkan sebagai produk pelancongan bernilai tinggi. Pengunjung yang ingin berkunjung ke Kampung Budaya ini haruslah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan berdaftar dengan MySejahtera serta membuat imbasan suhu badan bagi memastikan mereka benar-benar sihat dan bebas daripada sebarang gejala penyakit sebelum mengunjungi kawasan ini.

 

Seterusnya, Kerajaan Negeri Terengganu dengan kerjasama pihak Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu berhasrat untuk menjadikan keseluruhan Kampung Losong sebagai perkampungan Budaya. Perancangan ini akan melibatkan anggaran peruntukan yang berjumlah RM 500,000.00 bagi pembinaan pintu gerbang masuk serta kemudahan infrastruktur yang kondusif kepada pengunjung serta komuniti setempat.

 

Dengan adanya Program Kampung Budaya ini, kegemilangan warisan seni budaya masyarakat Melayu Terengganu dapat dijulang, menjadi platform karyawan tempatan dan seterusnya menyumbang kepada peningkatan sosio ekonomi penduduk tempatan melalui aktiviti seni budaya Terengganu.

 

Leave a Reply