Skip to main content
Ahmad Samsuri (tiga dari kiri) ketika membuat pengisytiharan Kampung Budaya Terengganu sempena Majlis Pelancaran Kampung Budaya Terengganu di Kompleks Muzium Negeri Terengganu hari ini. – Foto Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI)

 

KUALA TERENGGANU – Produk pelancongan baharu iaitu Kampung Budaya Terengganu di Kompleks Muzium Negeri, Losong di sini mula dibuka hari ini kepada orang ramai.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, perkampungan budaya yang mempunyai pelbagai tarikan yang berkonsepkan muzium hidup itu menghimpunkan pelbagai kesenian, kebudayaan dan warisan dari kesemua lapan daerah di negeri ini.

Beliau berkata, orang ramai bukan sahaja berpeluang menikmati pengalaman percutian bersejarah berlatar belakangkan suasana kehidupan sebenar masyarakat Melayu lama, malah boleh melihat secara dekat demonstrasi aktiviti tradisi yang diusahakan penduduk tempatan.

Demonstrasi memasak laksa Terengganu menggunakan alatan tradisonal turut disajikan kepada pengunjung.

 

“Memandangkan Terengganu kaya dengan pelbagai khazanah seni warisan budaya yang sehingga kini masih dipelihara, kerajaan negeri mengambil inisiatif mewujudkan Kampung Budaya Terengganu yang akan dijadikan ‘one stop centre’ bagi membolehkan pengunjung menyelami sejarah warisan masyarakat dahulu kala.

“Sebagai sebuah produk pelancongan baharu, kita percaya Kampung Budaya Terengganu bukan sahaja menjulang semula seni budaya masyarakat Melayu dahulu kala, bahkan turut menjadi rujukan generasi akan datang,” katanya.

Beliau berkata, kepelbagaian tradisi Masyarakat Terengganu seperti permainan dan peralatan tradisional yang berbeza-beza di setiap daerah boleh dilihat di Kampung Budaya berkenaan.

“Mungkin ada antara generasi muda tidak pernah lihat peralatan sebegini. Jadi ini ini adalah kesempatan terbaik untuk pelancong datang sekali lagi ke Terengganu bagi melihat seni, budaya dan warisan negeri yang terdapat di Kampung Budaya,” katanya kepada pemberitan pada sidang akhbar selepas merasmikan perkampungan tersebut.

Antara tarikan yang melengkapkan suasana Kampung Budaya Terengganu di Muzium Negeri Terengganu.

 

Turut hadir, Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat Terengganu, Ariffin Deraman dan Pengarah Pelancongan Terengganu, Ab. Rasid Jusoh.

Artikel Penuh: https://www.sinarharian.com.my/article/99561/EDISI/Terengganu/Kampung-Budaya-Terengganu-tarikan-baharu-di-Muzium-Negeri
Hakcipta Terpelihara © 2020 Sinar Harian

 

Leave a Reply