KUALA TERENGGANU, 11 Mac – Rata-rata ibu bapa pelajar Sekolah Rendah Islam Darul Iman (SRIDI) sangat berpuas hati dengan institusi pendidikan baharu kerajaan negeri itu selepas anak-anak mereka mampu menguasai ilmu agama dan bertutur dalam bahasa arab dengan baik.
Bermula pada tahun 2019, SRIDI yang kini mencecah usia tiga tahun mampu membentuk generasi yang cemerlang dalam ilmu dunia dan akhirat.
Bapa kepada pelajar SRIDI, Muhamad Rizal Abu Seman, 34, memaklumkan institusi Pendidikan awal itu berjaya mengeluarkan potensi dan minat anaknya, Adni Safiyyah Muhamad Rizal, 9, untuk mempelajari agama dan bahasa Arab di SRIDI Buluh Gading.
“Silibus yang diajar kebiasaannya hanya didapati pada peringkat sekolah menengah, tetapi SRIDI telah menyediakan acuan dalam pendidikan rendah dengan subjek seperti Feqah, Sirah, Tauhid dan lain-lain lagi.
“Oleh itu, siapa yang menduduki kelas di SRIDI sudah ada asas kukuh dalam subjek agama Islam tanpa ketinggalan dalam akademik, serta keupayaan menulis dan membaca bahasa Arab dan tulisan Jawi.
“Dari segi kecekapan, anak saya juga menunjukkan peningkatan, contohnya subjek Feqah yang dipelajari ada perkataan dalam bahasa Arab yang kita tidak tahu, tapi dia sudah boleh kenal,” katanya yang juga seorang guru kepada UPDI baru-baru ini.
Sementara itu, menurut seorang lagi penjaga, Rozaimah Awang, 36, yang juga ibu kepada seorang, Nur Fatin Salihah Muhamad Hanif, 9, peningkatan kemahiran menulis jawi dan mengaji Al-Quran anaknya selepas belajar di SRIDI sangat membanggakan.
“Anak sulong kami daripada empat orang beradik ini mula di bangku SRIDI sejak darjah satu, pada mulanya dia kurang sedikit bab menulis arab dan jawi.
“Tetapi sekarang dia sudah ada asas dalam subjek Diniyyah tersebut, tambah lagi dengan silibus Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) jadi pendidikan itu seimbang,” katanya.
Tambah suri rumah kepada empat orang anak itu lagi, Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) yang disediakan pihak sekolah semasa musim pandemik ini juga mencukupi.
“Bahan belajar melalui aplikasi Google Meet, Telegram dan Whatsapp memberikan peluang kepada anak saya untuk belajar dengan baik, silibus juga tidak membebankan,” jelasnya.
Dalam pada itu, bapa Nur Fatin, Muhamad Hanif Yahaya, 37, turut menyambut baik usaha kerajaan negeri dalam menyediakan platform pendidikan agama bagi peringkat sekolah rendah.
“Dulu, hanya ada pilihan sekolah swasta sahaja yang menyediakan pendidikan agama bersama KSSR, namun kini mujur kerana SRIDI mengisi keperluan itu,” jelasnya.
Untuk rekod, SRIDI dan Sekolah Menengah Islam Darul Iman (SMIDI) merupakan manifesto kerajaan negeri bagi membangunkan modal insan seiring kehendak dunia dan akhirat.
Artikel Penuh : https://www.trdi.my/sridi-berjaya-lahir-murid-genius
Hakcipta Terpelihara © 2021 TRDI