Skip to main content

MARANG: Kerajaan Terengganu optimis sasaran untuk membina 20,000 rumah mampu milik (RMM) untuk rakyat negeri itu mampu dicapai menjelang 2023.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak, berkata ketika ini sebanyak 12,555 unit atau 62.78 peratus RMM sudah dibina di Terengganu.

Beliau berkata, pihaknya yakin sebanyak 7,445 unit RMM dapat dibina dalam tempoh dua tahun lagi bagi membolehkan rakyat negeri ini memiliki kediaman masing-masing.

“Projek ini sebenarnya bermula pada 2018 dan pada awalnya kita sasarkan ia siap dalam tempoh empat tahun namun pandemik COVID-19 yang melanda negara bermula tahun lalu mengehadkan perjalanan projek susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), PKP Bersyarat dan PKP Pemulihan.

“Jadi, tahun ini kita memulakan kembali projek ini bagi memastikan sasaran 20,000 unit RMM dalam tempoh empat tahun dapat dicapai,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pecah Tanah Projek Rumah Mampu Milik (RMM) Bukit Gasing 11 di sini, hari ini.

Terdahulu, majlis pecah tanah itu disempurnakan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Mengulas lanjut mengenai projek RMM Bukit Gasing 11, Dr Alias berkata, ia adalah projek perumahan kelima menggunakan peruntukan kerajaan negeri.

Katanya, sebanyak 238 unit RMM akan dibina di atas tanah berkeluasan 7.36 hektar membabitkan kos sebanyak RM34 juta.

 

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (dua kiri) bersama Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri, Dr Alias Razak (kiri) melihat plan rumah mampu milik (RMM) pada Majlis Pecah Tanah Projek Rumah Mampu Milik (RMM) Bukit Gasing 11, Marang. – Foto NSTP/Ghazali Kori

Leave a Reply