KUALA LUMPUR, 29 Jun- Terengganu menjadi negeri keempat yang melaksanakan sistem pentadbiran tanah secara elektronik (e-Tanah) selepas pelaksanaan sistem itu di Perak, Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Labuan pada 2021.
Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pelaksanaan inisiatif Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) itu akan memberi satu dimensi baru dalam pentadbiran dan pengurusan tanah di negeri berkenaan.
“Pemeteraian perjanjian konsesi pada hari ini merupakan satu manifestasi komitmen dan kolaborasi erat antara tiga pihak iaitu kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan Puncak Tegap Sdn Bhd sebagai pihak yang bertanggungjawab melaksanakan projek ini.
“Puncak Tegap Sdn Bhd akan menanggung semua kos pembangunan dan penyelenggaraan projek sepanjang tempoh konsesi selama 14 tahun iaitu dua tahun pembangunan dan 12 tahun operasi.
“Kerajaan Persekutuan akan membuat bayaran fi perkhidmatan berdasarkan prestasi serta kadar ditetapkan setelah sistem e-Tanah diguna-pakai sehingga tempoh konsesi tamat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Menandatangani Perjanjian Konsesi Sistem Pentadbiran Tanah Secara Elektronik (e-Tanah) di Hotel Pullman, di sini, semalam.
Tambahnya, kerajaan negeri pula bertanggungjawab menanggung kos minimum melibatkan kos operasi harian pentadbiran tanah.
“Saya percaya kerajaan Terengganu akan memastikan sistem ini diterima dan diguna-pakai secara optimum dalam segenap lapisan pentadbiran tanah negeri agar matlamat pendigitalan dalam perkhidmatan tanah dapat direalisasikan bersama,” katanya.
Sementara itu, Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar merakamkan ucapan terima kasih kepada kerajaan Persekutuan kerana negeri berkenaan dipilih melaksanakan inisiatif yang melibatkan kos sebanyak RM117 juta itu.
Jelasnya, aplikasi elektronik yang dibangunkan ini sangat memudahkan sekali gus dapat mengurangkan kaedah urusan lebih kompleks yang diguna pakai sebelum ini.
“Saya sangat berharap pelaksanaan e-Tanah akan menjadi satu usaha ke arah pentadbiran tanah yang lebih efisien, efektif selain menjimatkan kos dan masa demi kemaslahatan rakyat.
“Demi meningkatkan mutu dan kualiti kepada rakyat, semoga usaha-usaha ini dapat dilaksanakan dan ditambahbaik di semua jabatan serta agensi kerajaan negeri khususnya bagi kelangsungan dan kecemerlangan kerajaan negeri Terengganu,” katanya.
Dalam majlis tersebut, perjanjian berkenaan ditandatangani oleh Tengku Seri Bijaya Raja Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu sebagai wakil kerajaan negeri, Ketua Setiausaha KeTSA, Dato’Rosli Isa (Kerajaan Persekutuan) dan Pengerusi Eksekutif Puncak Tegap Sdn Bhd, Syed Azmin Syed Nor.
Artikel Penuh: https://www.trdi.my/terengganu-dipilih-laksana-sistem-etanah
Hakcipta Terpelihara © 2022 TRDI