Skip to main content

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu menghadiahkan satu lot tanah kepada atlet silat negara, Siti Rahmah Mohamed atas sumbangan mengharumkan nama negara dan negeri dalam sukan silat di persada antarabangsa.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, lot tanah di kawasan Setiu telah diberikan kepada juara dunia empat kali itu.

“Kerajaan negeri amat prihatin dan sentiasa mengambil berat terhadap atlet negeri ini terutama kepada mereka yang menunjukkan prestasi cemerlang dalam sukan masing-masing di peringkat antarabangsa dan kebangsaan,” ujarnya dipetik laman TRDI.my.

Katanya kejayaan dikecapi Siti Rahmah itu membuktikan Terengganu mampu melahirkan atlet sukan silat negeri pada masa hadapan.

Sementara itu, Rahmah melahirkan kesyukuran kerana akhirnya segala proses mendapatkan tanah itu telah selesai.

“Saya amat berterima kasih kepada kerajaan negeri atas pemberian tanah ini yang pastinya dapat meningkatkan lagi semangat saya dan juga pelapis-pelapis atlet silat yang lain.

“Walaupun saya bersara nanti, akan ada juga peninggalan hadiah ini sebagai kenangan atas pengorbanan saya sebelum ini,” kata pemenang pingat emas dalam temasya Sukan SEA di Singapura 2015 dan Kuala Lumpur 2017 dalam Kelas Putri D dan E.

Siti Rahmah dianugerah Olahragawati Kebangsaan 2016 atas kejayaan yang diraih termasuk bergelar juara dunia kelas Putri E di Kejuaraan Silat Sedunia Ke-17 di Indonesia 2016.

Selain kejuaraan dunia, beliau juga memenangi tiga lagi kejuaraan pada 2016 apabila muncul juara kelas yang sama pada Kejuaraan Silat Antarabangsa Terbuka Belanda pada Ogos selain menang di World Martial Art Championship 2015 dan Kejuaraan Silat Asia Tenggara 2016.

Artikel Penuh: https://harakahdaily.net/index.php/2022/06/02/terengganu-hadiah-lot-tanah-kepada-juara-dunia-silat/
Hakcipta Terpelihara © 2022 Harakah Daily

Leave a Reply