KUALA TERENGGANU – Kerajaan Terengganu hari ini melancarkan Pelan Induk Kerajaan Digital Pintar Terengganu, salah satu pemboleh daya Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS2030) sebagai persediaan memasuki era Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0).
Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital, Ariffin Deraman berkata, visi pelan tersebut adalah untuk menjadikan negeri Terengganu model kerajaan digital pintar yang mampan bagi membangun masyarakat digital lestari.
Menurutnya, Pelan Induk Kerajaan Digital Pintar Terengganu yang diluluskan peruntukan sebanyak RM3 juta itu juga bakal menyemarakkan pertumbuhan ekonomi negeri yang berdaya saing berteraskan inovasi digital menjelang tahun 2030.
“Bagi menggerakkan pelan ini, kerajaan negeri telah menubuhkan Terengganu Advance Joint Digital Intelligent Development Corporation (TAJDID Corporation Sdn Bhd) yang akan memberi tumpuan kepada agenda pendigitalan negeri ini dan Taman Maya AI,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Pelan Induk Kerajaan Digital Pintar Terengganu & Pelan Strategik Taman Maya Al Terengganu yang disempurnakan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di Dewan Besar Wisma Darul Iman di sini hari ini.
Ariffin berkata, pelan tersebut akan mewujudkan pelbagai produk digital namun pandemik koronavirus (Covid-19) yang melanda negara ketika ini menyebabkan projek berjalan agak perlahan dengan hanya dua produk berjaya dihasilkan setakat ini.
Projek pertama katanya, adalah Masjid Pintar dan Masjid Pengadang Baru, di sini menjadi perintis dengan dilengkapi Sistem Kamera Litar Tertutup (CCTV) berteknologi tinggi yang mampu menentukan jantina dan jumlah jemaah masjid dalam satu-satu masa.
“Dengan CCTV ini, wajah dipaparkan juga lebih jelas dan ini bermakna ia mampu mengecam wajah penjenayah bila berlaku kecurian di masjid selain memberi amaran kecemasan secara terus kepada imam dan bilal.
Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/107406/EDISI/Terengganu/Terengganu-lancar-pelan-induk-bangun-masyarakat-digital
Hakcipta Terpelihara © 2020 Sinar Harian