Penulis:
Che Wan Mohd Faizul Che Wan Yusof
Ketua, Unit Analisis
Kerajaan Negeri Terengganu melalui Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS2030) sentiasa prihatin dan komited dalam memastikan setiap lapisan masyarakat Terengganu mendapat bantuan kebajikan dan tiada yang ketinggalan dalam isu kemiskinan.
Terdahulu, Kerajaan Terengganu telah membangunkan PITAS2030 iaitu satu pelan perancangan kerajaan Negeri yang memberi tumpuan utama bukan sahaja kepada pembangunan ekonomi bahkan pembangunan insan yang menekankan kepada pembangunan masyarakat yang beragama, berkebajikan dan bermasyarakat. Tahun 2030 diletakkan sebagai sasaran kerajaan negeri bagi menjadikan negeri Terengganu sebagai Negeri yang maju, berkat dan sejahtera selari dengan Sustainable Development Goals (SDG) yang diletakkan oleh Persatuan Bangsa Bersatu(PBB).
Sehubungan itu, ia menjadi keutamaan kerajaan negeri dalam membasmi kemiskinan rakyat selari dengan matlamat pertama SDG iaitu No Poverty (tiada kemiskinan). Pelbagai aktiviti dan inisiatif yang dijalankan oleh kerajaan negeri dalam memastikan tiada rakyat yang ketinggalan dalam isu pemberian bantuan dan kebajikan oleh kerajaan kegeri tanpa mengira latar belakang agama, kaum dan parti politik.
Inisiatif dan tindakan serius kerajaan Negeri dapat dilihat melalui pengumuman Bajet 2023 oleh Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Bin Mokhtar semasa ucapan Belanjawan 2023 yang lepas dan juga pelbagai program bantuan kebajikan melalui jabatan dan agensi kerajaan negeri.
Antara langkah-langkah dan inisiatif-inisiatif yang telah dilaksanakan oleh kerajaan negeri adalah seperti berikut:
- Penyediaan peluang pekerjaan dan penempatan pekerjaan untuk ibu tunggal dan OKU ; (Bajet 2023)
- Menjadikan Terengganu sebagai Negeri Pengeluar Makanan Negara ; (Mercu Tanda PITAS2030)
- Peruntukan kepada sektor pertanian berjumlah RM29.18 juta bagi pembangunan padang ragut, pembangunan hub lembu sado dan juga pembangunan kambing tenusu.
- Skim Pembiayaan Rumah- iRAHMAN
Selain itu, kerajaan juga menitikberatkan kualiti kehidupan yang sihat melalui bantuan Wad Kelas 3 Percuma yang melibatkan peruntukan sebanyak RM4 juta dan juga program pemeriksaan mammogram dan pap smear sebanyak RM300,000.
Terdapat pelbagai lagi inisiatif dan pelan tindakan yang dirancang melalui PITAS2030 yang merangkumi pelbagai aspek antaranya aspek kesihatan, pendidikan dan taraf hidup rakyat. Hasilnya, rakyat dapat menikmati kesejahteraan hidup yang berterusan.