Skip to main content

KUALA TERENGGANU, 10 Disember – Tanggal 23 Disember bakal menjadi tarikh bersejarah buat 37 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belia apabila mereka akan bersidang untuk mengangkat isu anak muda Terengganu.

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Dato’ Yahaya Ali berkata, kesemua mereka yang mewakili DUN masing-masing termasuk seorang ADUN Wanita dan empat wakil ahli parlimen belia akan berbahas dalam empat bidang utama.

Jelasnya, perbahasan yang akan menyentuh isu pendidikan, ekonomi, kerjaya dan sosial dalam kalangan belia itu menjadi ujian pertama buat ADUN terbabit.

“Ia juga bermaksud, setiap ADUN Belia (AB) mesti mempunyai persiapan yang cukup, pengetahuan dan ilmu yang tinggi serta mesti menjalankan banyak kajian di lapangan.

“Perkara ini sangat penting sebelum kita bercakap dalam sidang DUN dan supaya perbahasan atau usul kita itu diterima oleh semua orang termasuk kerajaan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Kem Induksi Sidang DUN Belia Terengganu 2019 di Hotel Permai, di sini baru-baru ini.

Sementara itu, Pegawai Belia Urus Setia Belia, Sukan dan NGO Terengganu (UBSNT), Mohd Irsyad Syafiq Burhanuddin berharap agar semua anak muda yang terpilih dapat membawa aspirasi anak muda ke tahap yang lebih tinggi.

“Insya-Allah, inilah anak-anak muda yang akan mewarisi kepimpinan pada masa akan datang.

“Justeru, ambil peluang ini sebaiknya, segala ilmu yang diperolehi sepanjang pemilihan dan kem ini berlangsung untuk memimpin masyarakat suatu hari nanti,” katanya.

Menurut beliau lagi, program berkenaan adalah platform perbahasan idea dan cadangan yang berkaitan pembangunan belia untuk dibawa kepada kerajaan negeri sebagai input dalam proses pembuatan polisi.

Ujarnya, walaupun para peserta tidak diangkat sebagai ADUN sebenar, tetapi peranan mereka sangat besar khususnya dalam membawa isu-isu belia Terengganu.

“Langkah itu sangat wajar bagi melahirkan dan mengasah bakat-bakat baharu kepimpinan negeri sebagai pelapis kepimpinan masa hadapan,” tambah beliau.

Artikel Penuh: https://drsamsuri.com/23-disember-sejarah-buat-37-adun-belia-terengganu/
Hakcipta Terpelihara © 2019 Teganukita

Leave a Reply