Skip to main content
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (tengah) bergambar bersama atlet selepas menyerahkan insentif Skim Hadiah Kemenangan (Shake) Sukan Sea Ke-31, Vietnam 2022 di Wisma Darul Iman hari ini. STR/GHAZALI KORI

 

KUALA TERENGGANU: Atlet Terengganu yang cemerlang pada pentas Sukan SEA Hanoi, bulan lalu mendapat pengiktirafan daripada kerajaan negeri apabila masing-masing menerima insentif dalam bentuk wang tunai.

Seramai 34 atlet yang mendapat pingat dalam temasya sukan Asia Tenggara itu diraikan dalam Majlis Pemasyhuran Ketua Kontinjen Sukma 2022 dan Penyerahan Insentif Skim Hadiah Kemenangan (Shake) Sukan SEA edisi ke-31 di Vietnam yang disempurnakan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di Wisma Darul Iman, dekat sini hari ini.

Atlet berbasikal lebuhraya mendahului senarai penerima terbanyak insentif berkenaan iaitu sebanyak RM39,000 selepas berjaya mengutip satu pingat emas, dua perak dan satu gangsa.

Atlet memanah yang berjaya meraih satu pingat perak dan satu gangsa meraih insentif sebanyak RM13,000, diikuti atlet petanque yang meraih RM12,000 selepas merangkul satu perak dan satu gangsa manakala atlet berbasikal MTB meraih insentif sebanyak RM11,500 selepas meraih satu emas.

Turut mendapat insentif berkenaan adalah atlet pencak silat yang meraih wang tunai sebanyak RM7,000, olahraga RM5,500 dan masing-masing RM5,000 diperoleh atlet e-sport, muay Thai, sepak takraw, judo dan bola sepak.

Turut mendapat insentif adalah atlet gimnastik, kurash dan menembak masing-masing meraih RM4,000, karate RM3,500, taekwondo RM3,000, tinju RM3,000 dan lawan pedang RM2,500.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia Sukan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, kejayaan 34 atlet berkenaan meraih pingat dalam temasya itu adalah kejayaan yang begitu membanggakan dan melebihi sasaran yang ditetapkan Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT).

Katanya, sebanyak RM143,000 insentif Shake diberikan kepada atlet yang berjaya menyumbang pingat buat negara dalam temasya sukan itu sekali gus mampu membakar semangat atlet untuk terus berjuang di pentas antarabangsa.

“Daripada 39 pingat emas diraih kontinjen negara pada temasya itu, tiga daripadanya disumbang atlet dari Terengganu menerusi Mohd Nur Aiman Mohd Zariff dalam acara berbasikal lebuh raya, Ahmad Nor Iman Aliff Rakib dalam acara muay Thai serta acara berpasukan berbasikal MTB menerusi Zulfikri Zulkifli dan Ahmad Syazrin Awang Ilah,” katanya.

Daripada 49 atlet Terengganu yang mengibarkan bendera negara dalam temasya itu, mereka juga berjaya menyumbang sembilan pingat perak dan 14 gangsa kepada kontinjen negara sekali gus membuktikan atlet dari negeri ini antara penyumbang pingat terbesar.

“Kerajaan negeri meletakkan harapan yang tinggi dengan pemberian insentif berkenaan, ianya bukan sahaja mampu menyuntik semangat mereka untuk terus berjuang mengharumkan nama negara tapi juga mengharapkan ianya mampu membakar semangat atlet lain untuk memburu kejayaan di pentas sukan tertinggi,” katanya ketika ditemui selepas majlis berkenaan yang turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Tengku Farouk Hussin Tengku Abdul Jalil dan Pengarah MSNT, Ahmad Shahrizal Yahaya.

Dalam majlis itu, kerajaan negeri secara rasmi turut mengumumkan pelantikan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan) merangkap Pengarah Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN), Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak sebagai Ketua Kontinjen Terengganu dalam Sukan Malaysia (Sukma) edisi ke-20 di Kuala Lumpur dari 16 hingga 24 September ini.

Artikel Penuh: https://www.bharian.com.my/sukan/lain-lain/2022/06/963735/34-atlet-terengganu-terima-ganjaran
Hakcipta Terpelihara © 2022 Berita Harian

Leave a Reply