Skip to main content

KUALA TERENGGANU, 7 Feb — Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) hari ini mengagihkan sebanyak RM519,500 kepada 118 usahawan bimbingannya untuk terus mengembangkan perusahaan masing-masing.

Pengurus Besar Ketengah Tengku Ahmad Nadzri Tengku Musa berkata agihan peruntukan itu disalurkan melalui empat program iaitu Insentif Usahawan Terjejas COVID-19, Program Sokongan Pengukuhan Keusahawanan Luar Bandar (SPKLB), Rural Mobile Enterpreneur dan Program Pembangunan Usahawan.

Beliau berkata daripada empat program tersebut, agihan tertinggi ialah melalui SPKLB iaitu sebanyak RM180,400 kepada 22 usahawan terpilih. “SPKLB adalah pemberian geran padanan dengan jumlah minimum RM3,000 dan maksimum sebanyak RM5,000 yang dikendalikan oleh KPLB untuk meningkatkan taraf hidup dan ekonomi masyarakat luar bandar melalui program
keusahawanan.

“Agihan seterusnya ialah RM165,000 untuk 81 usahawan pelbagai bidang yang terjejas akibat pandemik COVID-19. Ia diharap dapat meringankan beban mereka seterusnya mampu bertahan dalam perniagaan yang dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. Tengku Ahmad Nadzri berkata bagi program Rural Mobile Enterpreneur pula, sebanyak RM130,000 diagihkan kepada 10 usahawan, yang memberi peluang kepada masyarakat luar bandar khususnya golongan berpendapatan rendah (B40) yang menunjukkan kecenderungan, minat dan kesungguhan untuk menjadikan keusahawanan sebagai sumber pendapatan.

“Penerima bantuan ini terdiri daripada usahawan elektronik, fotografi dan videografi, salon kecantikan, pembuatan makanan, pembaikan alatan, komputer serta alat muzik. “Selain itu, lima usahawan yang terlibat dalam bidang pertanian, penternakan dan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) menerima bantuan melalui Program Pembangunan Usahawan dengan jumlah peruntukan RM44,100,” katanya.

Katanya Ketengah komited meneruskan program yang memberi peluang ekonomi kepada penduduk selaras dengan fungsi Ketengah iaitu memajukan, merangsang, memudahkan dan mengusahakan pembangunan ekonomi dan sosial dalam kawasan Terengganu Tengah.

“Semoga bantuan ini dapat memberi motivasi kepada usahawan untuk terus berusaha gigih demi mencapai tahap ekonomi yang lebih baik pada masa akan datang,” katanya.

Artikel Penuh: https://www.bernama.com/bm/am/news_bencana.php?id=2049916https://www.trdi.my/99-peratus-program-projek-pertanian-terengganu-berjaya-dilaksanakan
Hakcipta Terpelihara © 2022 BERNAMA

Leave a Reply