KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri akan mengusahakan tanah terbiar seluas kira-kira 8,000 hektar dengan projek tanaman pokok buah-buahan.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, projek tanaman buah-buahan termasuk durian musang king itu akan dilaksanakan secara berperingkat.
Katanya, kerajaan akan memberi tumpuan untuk pembangunan tanah terbiar di seluruh negeri ini untuk penanaman buah-buahan terpilih.
“Projek penanaman buah-buahan terpilih itu akan dilaksanakan secara berperingkat,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Ketika mengulas mengenai pengurangan Bajet 2022 di sektor pertanian, Dr Azman yang juga Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Jabi berkata, peruntukan diluluskan kerajaan sebanyak RM7.34 juta untuk tahun depan bagi sektor pertanian adalah mencukupi bagi meneruskan kesinambungan usaha menerusi program Tahun Pertanian Terengganu (TPT) 2021.
Katanya, walaupun peruntukan sedikit berbeza berbanding tahun lalu, tumpuan akan diberi kepada impak serta manfaat melalui program TPT.
“Fokus kerajaan negeri adalah meneruskan perkara yang memerlukan kelangsungan, terutama membabitkan penyelenggaraan sektor penanaman padi, sektor pertanian dan pembangunan tanah terbiar.
“Kerajaan juga akan meneruskan program memperkayakan sumber perikanan dan marin yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat,” katanya.
Mengulas lanjut, Dr Azman berkata, sebanyak RM2.5 juta dari keseluruhan bajet pertanian akan dibelanjakan bagi memperhebat projek pembangunan padi.
“Keutamaan projek pembangunan padi selaras objektif besar kerajaan negeri menjadikan Terengganu sebagai negeri pengeluaran makanan,” katanya.