Skip to main content

KUALA TERENGGANU, 16 September – Ibu kota Terengganu malam tadi sesak dengan ribuan rakyat tempatan serta luar negeri bagi menyaksikan acara ikonik kenderaan berhias setelah kali terakhir pada tahun 2015.

Pertandingan Kenderaan Berhias bersempena Sambutan Ulang Tahun Ke-60 Keputeraan Sultan Terengganu disertai kesemua lapan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan beca berhias oleh kumpulan anak syarikat negeri (GLC).

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin turut berkenan mencemar duli menyaksikan perarakan yang bermula dari bandar Kuala Terengganu dan berakhir di Dataran Batu Buruk.

Turut berangkat Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah, Yang Di-Pertuan Muda Terengganu serta yang Amat Mulia Paduka anakanda-anakanda Sultan Terengganu; Tengku Sri Setia Mahkota Raja, Tengku Puteri Utama Raja dan Tengku Puteri Daulath Raja.

Turut hadir menyambut keberangkatan, Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan isteri, To’ Puan Seri Tuan Faizah Tuan Ab Rahman.

Cuti umum Hari Malaysia menjadi faktor kebanjiran kehadiran pelancong luar negeri di samping keterujaan rakyat Terengganu setelah sekian lama acara wajib berkenaan tidak diadakan.

Daerah Kemaman dinobatkan sebagai juara Pertandingan Kenderaan Berhias 2022 manakala tempat kedua dan ketiga dimenangi oleh Dungun serta Kuala Nerus.

Bagi Pertandingan Beca Berhias pula dijuarai Hotel Paya Bunga, disusuli Duyong Marina Resort dan Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) menduduki tempat kedua serta ketiga.

Artikel Penuh: https://www.trdi.my/jalan-sesak-rakyat-teruja-saksikan-perarakan-kenderaan-berhias
Hakcipta Terpelihara © 2022 TRDI

Leave a Reply