Skip to main content

KUALA TERENGGANU, 1 Julai – Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu akan memperkenalkan sistem penarafan bintang buat pertama kali kepada 70 rumah bot di Tasik Kenyir bermula tahun hadapan.

Pengarahnya, Fadli Yusof berkata tujuan sistem ini dilaksanakan adalah memberi penarafan dan pengiktirafan kepada premis mengikut kriteria yang ditetapkan.

Katanya, ia juga akan membantu pelancong merancang percutian mengikut kehendak masing-masing dengan tepat.

“Sekarang pihak kami dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) sedang menyediakan dokumen untuk gred bermula satu sehingga lima bintang sebagaimana hotel- hotel di darat.

“Antara kriteria untuk pemberian bintang, kita akan menilai tandas, kemudahan air, sistem kumbahan, penyediaan makanan mengikut standard dan bilik penginapan yang terdapat di setiap rumah bot di Tasik Kenyir,” ujarnya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman baru-baru ini.

Tambah beliau lagi, percutian akan bertambah mudah, selesa, puas hati dan menenangkan apabila individu membuat perancangan secara menyeluruh dengan menentukan destinasi yang diingini dilawati sejajar dengan matlamat serta duit dibelanjakan berbaloi dalam segenap segi.

“Bila kita buat penarafan bintang, secara tidak langsung akan mempengaruhi harga pakej bagi setiap rumah bot  namun menjanjikan kepuasan kepada pelancong sebagaimana mereka menginap di hotel-hotel yang terdapat di negeri ini,” katanya.

Artikel Penuh: https://www.trdi.my/rating-star-rumah-bot-tasik-kenyir-tahun-hadapan
Hakcipta Terpelihara © 2022 TRDI

Leave a Reply