Skip to main content
PELUMBA bersemangat untuk mengharungi cabaran sebaik dilepaskan.

 

‘UMPAMA kail dan ikan’ adalah kata-kata sesuai apabila mengaitkan Terengganu serta sukan berbasikal di negara ini.

‘Anok Ganu’ seperti Azizulhasni Awang, Anuar Manan dan Fatehah Mustapa sentiasa meniti di bibir peminat sukan lumba basikal negara apabila nama-nama itu menunjukkan kehebatan beraksi bukan sahaja di gelanggang tempatan, malahan terbukti cemerlang di pentas dunia.

Maka tidak hairanlah penganjuran sukan berbasikal di Terengganu sentiasa mendapat sambutan.

Terbaharu kejohanan Golden Mountain Bike (MTB) Ride 2019 di trek Tasik Puteri Bukit Besi, Dungun, baru-baru ini menarik 600 penyertaan dari seluruh Malaysia.

Malah, pihak penganjur dikatakan terpaksa menolak hampir 150 penyertaan pada saat akhir.

Sedikit mengenai Tasik Puteri, ia terhasil kesan daripada aktiviti perlombongan bijih besi, namun airnya membiru dan mendamaikan sesiapa yang berkunjung ke sana.

Namun begitu, jangan sekali-kali ingat ia petanda cabaran yang ada di sana mudah diredah setiap pelumba.

LALUAN becak antara cabaran terpaksa ditempuh pelumba.

 

Untuk menghabiskan jarak 30 kilometer mereka perlu merentasi denai berlumpur, berbatu dan lecak selain berbukit.

Seluruh teknik dan kemahiran serta pengalaman dalam sukan basikal lasak wajib digunakan pelumba sepanjang menempuh cabaran di laluan berbukit dan bercerun curam.

Tambah menyeksakan apabila hujan lebat.

Jika tanpa persediaan rapi, trek itu membawa mimpi ngeri buat pelumba.

Pelumba dilepaskan Ketua Pegawai Eksekutif Golden Pharos Berhad, Datuk Nadza Abdul tepat jam 7.30 pagi.

Mengulas kejohanan julung kali diadakan itu, Nadza berkata, dia amat teruja apabila menarik 600 penyertaan dari seluruh negara.

Menurutnya, mereka akan mengadakan beberapa lagi pertandingan pada masa depan bertemakan hutan dan alam semula jadi.

“Pihak syarikat turut terbabit dengan penganjuran larian Jambatan Sultan Mahmud selain menjadi penaja Kejohanan Terengganu International Paragliding,” jelasnya.

WAJAH ceria peserta perlumbaan selepas berjaya menamatkan saingan.

 

Keputusan perlumbaan itu memihak Khuzairi Abdul Bakar, 28, daripada pasukan Izrimee Bike yang muncul juara Kategori Terbuka.

Khuzairi kakitangan CEFS Respons Petronas Kerteh mencatat masa 1 jam 16 minit 48 saat, sekali gus membawa pulang hadiah wang RM400 dan barangan sukan.

Tempat kedua dirangkul Muhammad Syazwan Wahab yang mewakili TESDEC Santai Cycling Club dengan catatan 1 jam 16 minit 49 saat.

Manakala tempat ketiga milik Syahir Yusof dari Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Gong Kedak Cycling Club.

Untuk kategori amatur pula, anggota tentera, Shafari Kadir dari Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Gong Kedak Cycling Team muncul juara sekali gus membawa pulang hadiah wang RM300 dan barangan sukan.

Tempat kedua; Muhammad Nazim Azfar Mohd Jaafar dari LAW Cycling manakala, Hafiz Malik dari pasukan G4 Brotherhood (ketiga).

Semua hadiah disampaikan Nadza dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Dungun, Lizan Che Mat.

Artikel Penuh: https://www.hmetro.com.my/xpresi/2019/10/506408/tarik-600-pelumba
Hakcipta Terpelihara © 2019 Harian Metro

Leave a Reply