Skip to main content

KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri akan menggunakan stesen hidrologi bagi membuat pengesanan awal banjir di negeri ini.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Bencana negeri, Hanafiah Mat, berkata bacaan paras air daripada stesen hidrologi antara kaedah menangani kemungkinan berlakunya bencana itu dalam tempoh terdekat.

Katanya, sebanyak 59 stesen hidrologi dengan tambahan 34 stesen daripada Program Ramalan dan Amaran Banjir (PRAB) Fasa Satu sudah beroperasi sejak Ogos lalu.

“Sebanyak 66 lagi stesen baharu daripada PRAB Fasa Dua yang sedang dalam pembinaan dijangka siap November 2022,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Hanafiah yang juga EXCO Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri mengulas persiapan awal kerajaan untuk pengesanan paras air sebagai persiapan menghadapi banjir.

Beliau berkata, bacaan paras air sungai dan laut daripada stesen hidrologi itu akan digunakan sebagai persiapan awal memindahkan penduduk di kawasan rendah dan mudah dinaiki air.

“Kerajaan juga menggunakan bacaan paras air daripada stesen hidrologi bagi melakukan pengesanan kenaikan paras air laut sehingga boleh menyebabkan air pasang besar,” katanya.

Mengulas persiapan lain Hanafiah yang juga Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Chukai berkata, sebanyak 580 pusat pemindahan sementara (PPS) yang boleh menampung 147,600 mangsa disediakan.

“Kapasiti muatan mangsa banjir di PPS itu akan dikurangkan sebagai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) terutama membabitkan penjarakan sosial bagi mengelak penularan pandemik COVID-19.

“Kerajaan negeri melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga menyediakan Depoh Simpanan Keperluan Bencana (DSKB), 17 mini depoh dan 149 pangkalan hadapan,” katanya.

Hanafiah berkata kerajaan negeri memperuntukkan RM6.6 juta kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi melakukan kerja menyelenggara sungai dan alur.

Artikel Penuh : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/11/890535/terengganu-guna-stesen-hidrologi-pantau-banjir
Hakcipta Terpelihara © 2021 TRDI

Leave a Reply