KEMAMAN, 8 September – Seramai 106 peserta Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) di Dewan Undangan Negeri Kijal yang dinafikan hak dahulu (terkilan), kini tersenyum lebar setelah menerima geran hak milik.
Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal, Ustaz Hazri Jusoh memanjatkan syukur ke atas Ilahi kerana diberikan kesempatan untuk menunaikan hak rakyat di kawasannya dengan kerja keras daripada semua pihak terutama kakitangan Pejabat Tanah Daerah Kemaman.
“Alhamdulillah di kesempatan ini kita diberikan ruang untuk menunaikan janji kerajaan dengan mengembalikan semula tanah yang dinafikan dahulu kepada mereka yang berhak,
“Dengan kerja keras yang penuh komitmen daripada semua pegawai dan kakitangan Pejabat Tanah Kemaman saya ucapkan ribuan terima kasih, syabas dan tahniah,” ucapnya.
Hazri Jusoh (dua dari kanan)
RTB yang diserahkan hak milik geran di Dewan Terbuka Penunjuk Kijal kelmarin adalah RTB Bukit Anak Dara seramai 21 penerima, RTB Batu 9 seramai lima penerima, RTB Ibok seramai 17 penerima manakala RTB Bukit Panjang seramai 63 penerima.
Dalam waktu yang sama, Pentadbir Tanah Kemaman Mohamad A. Rahman yang turut berucap di majlis tersebut mengingatkan kepada penerima hak milk geran supaya tidak menjual tanah yang diterima mereka.
“Saya mengharapkan agar tanah yang dikurniakan oleh kerajaan ini hendaklah didirikan rumah dan jangan dijual,” katanya.
“Mana nak dapat harga tanah yang semurah ini, bayar premium sebanyak 10% dengan berdasarkan nilai harga pasaran pada tahun 1999,
“Pagi hari makan ceri, sebelah petang goreng ikan bawal, tanah yang beri… janganlah dijual,” ucapnya berseloroh.
Kerajaan Negeri Terengganu telah bersetuju memasukkan Dasar Tanah Terkilan dengan beberapa kemudahan seperti bayaran premium mengikut nilai tanah pada tahun tersebut demi kebajikan kepada rakyat.
Artikel Penuh : https://www.trdi.my/106-peserta-rtb-terkilan-di-kijal-terengganu-terima-geran
Hakcipta Terpelihara © 2020 TRDI