Penulis:
Afifah Zanal
Ketua, Unit Analisis
Dalam memajukan ekonomi Terengganu, Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS2030) telah meletakkan sasaran mencapai pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 6% setahun dan meningkatkan hasil negeri selain royalti daripada 15% kepada 30%.
Untuk mencapai sasaran #pitas2030 tersebut, kerajaan Terengganu telah merancang untuk memanfaatkan segala sumber-sumber yang terdapat di Terengganu dan memaksimumkan penggunaan sumber secara optimum. Peralihan dunia kepada teknologi hijau dan pendigitalan memberi desakan yang serius untuk kerajaan Terengganu merancang hala tuju ekonomi yang baru dan komprehensif.
Antara potensi ekonomi negeri Terengganu adalah sektor nyahkarbon. Antara produk nyahkarbon yang boleh dihasilkan adalah carbon capture & storage (CCS), carbon credit dan carbon trading. Dengan fasiliti dan sumber yang sedia ada di Terengganu, ia dapat menghasilkan produk-produk nyahkarbon seiring dengan Matlamat Pembangunan mampan (SDG) yang cenderung kepada tenaga hijau. Secara tidak langsung dapat meningkatkan pendapatan negeri dan mengurangkan kebergantungan negeri terhadap hasil royalti.
Selain itu, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad, pernah berkata, Malaysia mempunyai kira-kira 16.1 juta tan unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) bernilai kira-kira RM809.6 bilion. Berdasarkan kajian Jabatan Mineral & Geosains (JMG), Terengganu adalah antara negeri yang memiliki unsur NR-REE ini. Perkara ini jika dapat dikaji dengan baik dan mendapat kerjasama daripada kerajaan pusat, ia boleh menjadi sumber pendapatan baharu negeri Terengganu dalam tempoh 20-30 tahun akan datang.
Bagi sektor pertanian, kerajaan negeri telah mengeluarkan Pelan Strategik Pertanian sehingga tahun 2025. Antara matlamat utama adalah untuk menjadikan Terengganu sebagai Gedung Pengeluaran Makanan Utama Malaysia. Pelbagai tanah di daerah yang terbabit seperti Setiu, Besut dan Hulu Terengganu akan dibangunkan dengan lebih rancak untuk menggalakkan ekonomi pertanian negeri. Dengan usaha ini, peluang pekerjaan dapat ditingkatkan dan pengurangan migrasi keluar dari Terengganu dapat dikurangkan.
Secara keseluruhan, hala tuju ekonomi ini akan terus dijalankan dengan baik bersama agensi-agensi Kerajaan yang lain. Diharapkan momentum ini akan terus berterusan, dan #pitas2030 akan menjadi panduan yang berkesan untuk mencapai sasaran dan pertumbuhan ekonomi yang lebih baik. Dengan usaha yang berterusan, Terengganu akan terus Maju, Berkat dan Sejahtera.