Skip to main content
Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin Gong Badak dalam proses baik pulih dan penyelenggaraan. FOTO File NSTP

 

PERSATUAN Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) akhirnya menarik nafas lega selepas Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) Gong Badak, Kuala Terengganu mendapat ‘lampu hijau’ daripada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) sebagai gelanggang baharu pasukan Terengganu FC (TFC) musim ini.

Berita gembira buat peminat setia skuad Penyu itu dimaklumkan Timbalan Presiden PBSNT, Hishamuddin Abdul Karim yang menyatakan kelulusan itu diberi selepas MFL berpuas hati dengan fasiliti serta keadaan stadium yang melepasi syarat kelayakan minimum sebagaimana yang ditetapkan.

“Susulan pemeriksaan pegawai MFL pada 18 Februari lalu, kita sudah terima surat kebenaran semalam untuk menggunakan SSMZA sebagai gelanggang baharu pasukan TFC.

“Setakat ini padang dalam keadaan baik, tetapi kita akan lakukan ‘treatment’ akhir untuk pastikan kualiti rumput dan sebagainya,” katanya pada sidang media, hari ini.

Beliau berkata, kerja-kerja merawat padang SSMZA akan dijalankan sebagai persiapan akhir sebelum berlangsungnya perlawanan pertama Liga Super bertemu pasukan Perak Sabtu ini.

Pada 2 Jun 2009, bumbung utama stadium yang menelan belanja RM270 juta menyembah bumi, namun bernasib baik kerana tidak ada sebarang kemalangan jiwa dan kecederaan.

Kali terakhir stadium yang mampu memuatkan 50,000 penonton dan mula beroperasi ketika Sukan Malaysia (Sukma) 2008 itu digunakan pada 2017 sebagai gelanggang rasmi pasukan bola sepak Terengganu sebelum berpindah semula ke Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.

Dalam pada itu, Hishamuddin berkata, PBSNT akan mewujudkan ruang keluarga di SSMZA bagi memberi keselesaan kepada peminat setia skuad Penyu.

“Kita akan wujudkan ruang keluarga di SSMZA untuk memberi peluang kepada penonton yang datang bersama keluarga masing-masing supaya mereka lebih selesa.

“Sebanyak 30,000 keping tiket bagi perlawanan pertama bertemu Perak akan dikeluarkan yang berharga RM15.

“Tiket berkenaan akan mula dijual di dua lokasi iaitu di kaunter tiket SSMZA dan Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu bermula jam 10 pagi pada hari perlawanan,” ujarnya yang berharap peminat setia dapat menjaga kebersihan di stadium berkenaan dalam setiap perlawanan.

Artikel Penuh: https://www.hmetro.com.my/arena/2020/02/548767/stadium-sultan-mizan-lulus
Hakcipta Terpelihara © 2020 Harian Metro

Leave a Reply