KUALA LUMPUR: Ta Win Holdings Bhd akan membentuk syarikat usaha sama (JV) dengan Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) untuk membangunkan taman perindustrian di tanah seluas 202.34 hektar dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM2.4 bilion di Kemaman, Terengganu.
PMINT adalah agensi negeri Terengganu yang diamanahkan untuk menerajui pembangunan ekonomi dan pertumbuhan pelaburan di negeri itu.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Ta Win berkata cadangan syarikat JV itu akan dinamakan Ta Win Copper Ecocycle Sdn Bhd, yang 20 peratus dimiliki oleh PMINT dan 80 peratus oleh Ta Win.
PMINT mempunyai hak untuk melantik dua pengarah bagi syarikat JV itu manakala Ta Win akan melantik tiga pengarah.
Sebagai pemegang saham utama, Ta Win mempunyai hak untuk menamakan Pengerusi Lembaga Pengarah syarikat JV itu dengan kelulusan terlebih dahulu daripada PMINT.
“Melalui cadangan JV itu, Ta Win dan kerajaan negeri Terengganu menyasarkan untuk menyediakan ekosistem perindustrian dengan konsep ecocycle di Taman Ecocycle Terengganu kepada penggiat industri dalam rantaian bekalan industri logam bukan ferus.
“Taman itu dijangka memudahkan inovasi industri, penyampaian impak yang ketara dalam penggunaan bahan mentah kitar semula dan pengurangan sisa, menangani isu perubahan iklim dan pemuliharaan alam sekitar melalui penggunaan dan pengeluaran yang bertanggungjawab, selain kerjasama antara sektor awam dan swasta untuk menggalakkan pertumbuhan ekonomi yang mampan,” katanya.
Lembaga Pengarah menjangka pembangunan dan pengoperasian penuh Taman Ecocycle Terengganu akan mengambil masa lebih sembilan tahun, tertakluk kepada, antara lain, pelan pembangunan taman itu dan ketersediaan pembiayaan.
Ta Win menjangka untuk membiayai pembangunan taman itu dengan dana dalaman, pinjaman bank dan/atau alternatif pembiayaan lain yang mungkin termasuk langkah pengumpulan dana ekuiti yang akan dijalankan oleh syarikat.
Di Terengganu, Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran Terengganu, Datuk Tengku Hassan Tengku Omar berkata kerjasama itu akan menyediakan sebanyak 7,000 peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan dalam tempoh 10 tahun akan datang.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pemeteraian perjanjian usaha sama antara Ta Win Holdings Bhd dan PMINT yang disaksikan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di sini hari ini.
Pengarah Urusan Kumpulan Ta Win Datuk Seri Ngu Tieng Ung berkata pihaknya memilih untuk membangunkan operasi kilang di Kemaman berdasarkan beberapa faktor antaranya jarak yang dekat dengan pelabuhan dan dasar kerajaan negeri yang amat mesra pelabur.
Artikel Penuh: https://www.bharian.com.my/bisnes/korporat/2020/07/716148/ta-win-pmint-bentuk-kerjasama-bangunkan-taman-perindustrian-kemaman
Hakcipta Terpelihara © 2020 Sinar Harian